09 Julai 2013

PAS umum ahli perniagaan, Che Long sebagai calonnya

30 Syaaban 1434 H. [MOD

KUALA BESUT: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan,  Azlan Yusof atau lebih dikenali dengan nama Che Long(gambar) seorang ahli perniagaan yang terkenal di kalangan masyarakat tempatan sebagai calonnya untuk pilihan raya kecil Kuala Besut.

Che Long, 48, adalah anak tempatan Kuala Besut. Beliau tinggal di Kampung Baru. Rumahnya hanya setengah kilometer sahaja dari Markas Besar PAS untuk pilihan raya kecil ini.

Ini adalah pertama kali beliau menjadi calon PAS walaupun selama ini beliau adalah penyumbang kewangan utama untuk PAS.

Ustaz Abdul Hadi memperkenalkan Che Long dalam satu majlis ceramah di Kampung Nail, Kuala Besut malam ini.

Pemilihan beliau dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang berlangsung malam semalam.

Che Long, seorang kontraktor juga pernah memiliki sebuah stor kayu yang terkenal di daerah ini. Kini beliau banyak menguruskan kontraknya di daerah ini dan juga di Kelantan, kerana Kuala Besut bersempadan dengan Kelantan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai hari pengundian untuk PRK manakala 20 Julai hari pembuangan undi awal. 12 Julai pula ditetapkan sebagai hari penamaan calon.

PRK itu diadakan ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)yang juga Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, selepas 50 hari terpilih untuk kali kedua sebagai Adun.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk PRK DUN Kuala Besut.

Pada pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu, A. Rahman memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. BN menang dengan majoriti 2,434 undi.

Tiada ulasan: