09 Julai 2013

Husam dilantik sebagai pengarah PRK Kuala Besut


30 Syaaban 1434 H. [MOD] -


Harakahdaily,09 Jul 2013
KUALA LUMPUR: PAS telah melantik Naib Presidennya Datuk Husam Musa (gambar) sebagai Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut.

Dengan perlantikan ini bermakna Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan akan berdepan dengan Tan Sri Muhyidin Yassin yang dilantik sebagai pengarah untuk jentera BN. 
Bagi membantu Husam, dua timbalan dilantik iaitu Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terenggganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat.

Tiga penasihat kepada jawatankuasa ini adalah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya Haji Mohamad Sabu dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Perlantikan Husam dipercayai berikutan kedudukannya sebagai pemimpin kanan PAS dari Kelantan yang bersempadan dengan DUN Kuala Besut.

Ini kerana, pengaruh dan peranan PAS Kelantan dipercayai sangat penting dalam menentukan corak kempen pilihan raya ini.

Malam ini, Presiden PAS, Abdul Hadi akan mengumumkan calon yang akan bertanding bagi pihak PAS dan Pakatan Rakyat di Kampung Nail, Kuala Besut.

Harakahdaily difahamkan, PAS Besut dan Terengganu mencadangkan tiga nama untuk dipilih oleh PAS Pusat sebagai calon.

Tiga nama tersebut adalah bekas wakil rakyat di situ, Datuk Nik Zawawi Salleh, Yang Dipertua PAS kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad dan Bendahari PAS kawasan Besut Azlan Yusof atau lebih dikenali dengan nama Che Long.

Nama yang paling popular sehingga kini adalah penduduk jati Kuala Besut iaitu Che Long, seorang ahli perniagaan yang terkenal di sini.

Umno pula dikatakan menyenarai dua nama popular untuk PRK itu. Bekas Kadhi Besut, Nik Suhaiza Nik Ismail dan AJK Umno Bahagian Besut, Zahanapi Sagaf.

Anak bekas Adun Kuala Besut dan Exco Terengganu yang berpengaruh juga disebut-sebut menjadi calon PRK berkenaan. 

Daripada 13 pilihan raya umum (PRU) dan satu PRK di Kuala Besut, PAS menang empat kali iaitu PRU 1959, PRU 1969, PRU 1974 dan PRU 1999.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai hari pengundian untuk PRK manakala 20 Julai hari pembuangan undi awal. 12 Julai pula ditetapkan sebagai hari penamaan calon.

PRK itu diadakan ekoran kematian Adunnya yang juga Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr A. Rahman Mokhtar selepas 50 hari terpilih untuk kali kedua sebagai Adun.

Pada PRU13 lalu, Allahyarham memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. Majoriti calon BN adalah 2,434 undi. 

Pada pilihan raya umum lalu, BN mendapat 17 kerusi manakala PAS dan PKR yang menjadi sekutu dalam Pakatan Rakyat memperoleh 15 kerusi DUN di Terengganu.

Jika calon PAS menang dalam PRK ini, ia bakal menghasilkan satu suasana menarik dalam politik dan pentadbiran negeri Terengganu kerana ia akan menghasilkan kerusi yang sama banyak iaitu 16:16.

Tiada ulasan: