12 Oktober 2021

Elaun ‘ahli sihir New Zealand’ ditamatkan

 

Channell telah berkhidmat menjadi ‘The Wizard of New Zealand’ sejak 1998. - Stacy Squires/Stuff

CHRISTCHURCH, NEW ZEALAND – Seorang penghibur jalanan di Christchurch yang dikenali sebagai ‘The Wizard of New Zealand’ dihentikan khidmatnya oleh Dewan Bandar Raya Christchurch selepas 23 tahun menjadi tarikan pelancong di bandar itu, lapor perkhidmatan berita Newshub kelmarin.

Ian Brackenbury Channell menjadi salah satu tarikan pelancongan popular di bandar tersebut dengan menghiburkan orang ramai menerusi ‘aksi-aksi seperti seorang ahli sihir’.

Dia menerima bayaran daripada pihak berkuasa sebanyak AS$11,700 (RM48,760) setahun.

Menurut Channell, pihak dewan bandar raya membuat keputusan untuk menghentikan perkhidmatannya kerana dia dikatakan tidak lagi sesuai dengan imej moden bandar itu.

“Imej Christchurch seperti yang mereka kehendaki adalah tidak berkaitan dengan warisan asli bandar ini. Saya ialah imej asli bandar Christchurch.

“Mereka ialah sekumpulan birokrat yang tidak mempunyai imaginasi,” katanya kepada laman berita Stuff.

Tambah ‘ahli sihir’ tersebut, Dewan Bandar Raya Christchurch tidak mengambil peduli mengenai pelancongan antarabangsa dan hanya mengutamakan imej mereka yang ‘meminum kopi di pinggir jalan’.

Sementara itu, Penolong Ketua Eksekutif Dewan Bandar Raya Christchurch, Lynn McClelland berkata, pembayaran terakhir yang akan dibuat kepada ‘ahli sihir’ tersebut adalah pada Disember ini.

“Pihak kami telah bertemu dengan Channell dan menghantar surat kepadanya bagi berterima kasih atas khidmatnya kepada bandar Christchurch selama lebih 20 tahun ini. 

“Kami turut memaklumkan kepadanya bahawa kami ingin menamatkan kontrak rasmi dengannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Channell bertegas bahawa meskipun kontraknya ditamatkan selepas ini, dia tidak akan menghentikan aksi-aksi ahli sihirnya dan berikrar bahawa pihak berkuasa perlu membunuhnya terlebih dahulu (jika ingin menamatkan perkhidmatannya). – AGENSI 

Tiada ulasan: