12 Oktober 2021

Indonesia tarik diri daripada perjanjian AS$1 bilion

 Gambar fail diedarkan sukarelawan alam sekitar, Greenpeace, menunjukkan kawasan hutan di Jambi, Sumatera di Indonesia yang dibersihkan untuk pembangunan. - Foto AFP

Gambar fail diedarkan sukarelawan alam sekitar, Greenpeace, menunjukkan kawasan hutan di Jambi, Sumatera di Indonesia yang dibersihkan untuk pembangunan. - Foto AFP

JAKARTA: Kegagalan Inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membendung penebangan hutan di Indonesia mendedahkan kelemahan usaha itu.

Strategi membabitkan dana AS$1 bilion (RM4.18 bilion) itu turut dikritik kerana didakwa tidak berkesan dan menindas hak masyarakat pribumi.

Menurut badan pemantau, Global Forest Watch (GFW), usaha memulihara hutan itu bertujuan mengurangkan kesan perubahan iklim, di mana kehilangan hutan hujan tropika menyebabkan peningkatan pelepasan karbon sebanyak lapan peratus.

Bulan lalu, Indonesia yang berada di tangga ketiga hutan hujan tropika terbesar di dunia, membatalkan perjanjian dengan Norway atas alasan hanya menerima sebahagian kecil daripada dana PBB itu.

Pegawai Indonesia memberitahu Jakarta Post bahawa republik itu menarik diri kerana Norway tidak 'bersangka baik' dan mengenakan pelbagai syarat tambahan dan dokumentasi baharu mengenai perbelanjaan wang berkenaan.

Pada 2001, Indonesia memiliki 93.8 juta hektar hutan matang yang tidak diganggu kegiatan manusia iaitu saiz yang bersamaan dengan Mesir.

Menjelang 2020, keluasan berkenaan berkurangan sekitar 10 peratus, bermakna hutan saiz sebesar Portugal sudah musnah.

Menurut GFW, penebangan hutan global hanya meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pemusnahan hutan hujan semula jadi 12 peratus lebih tinggi pada 2020 berbanding tahun sebelumnya walaupun ekonomi global perlahan.

Wakil badan pemikir alam sekitar Amerika Syarikat (AS), World Resources Institute, Frances Seymour, berkata isu perhutanan menjadi faktor penentu perubahan iklim global pada masa depan.

"Kunci utamanya ialah dasar Pengurangan Pelepasan dan Pemusnahan Hutan serta Peranan Pemuliharaan, Pengurusan Hutan yang Lestari dan Peningkatan Stok Karbon Hutan Negara Membangun (REDD+) yang disokong PBB

"Melalui kerangka kerja ini, dana awam dan swasta disalurkan kepada negara membangun untuk mengekang pelepasan dengan cara mengurangkan penebangan hutan.

"Ratusan projek berkembang di seluruh dunia di bawah inisiatif yang berlangsung sejak satu dekad lalu dan penderma utamanya termasuk Norway, Jerman dan Britain," katanya.

Projek berkenaan dilaksanakan daripada skim peringkat nasional disokong kerajaan asing hingga kepada yang lebih kecil dan peringkat swasta yang menghasilkan 'kredit karbon' untuk dijual kepada syarikat berhasrat mengimbangi pelepasan.

Bagaimanapun, inisiatif berkenaan terpalit kontroversi dengan pakar alam sekitar mendakwa projek di beberapa tempat termasuk Kemboja, Peru dan Republik Demokratik Congo (DRC).

Antara lain, ia dikatakan tidak membabitkan komuniti tempatan dan gagal menunaikan manfaat yang dijanjikan, sehingga mengakibatkan tercetusnya konflik dalam beberapa kes. - AGENSI

Tiada ulasan: