12 Oktober 2021

Penerima Sinovac perlu dos penggalak untuk tunai umrah

 Arab Saudi mula memberi kebenaran untuk jemaah mengerjakan umrah dengan syarat tertentu. - Foto AFP

Arab Saudi mula memberi kebenaran untuk jemaah mengerjakan umrah dengan syarat tertentu. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi dilapor membenarkan individu yang mengambil suntikan vaksinasi Sinovac menunaikan umrah, dengan syarat mendapatkan dos ketiga seperti mana ditetapkan.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata syarat pengambilan dos penggalak itu hanya dikenakan kerajaan Arab Saudi kepada vaksin jenis Sinovac.

"Berdasarkan maklumat terbaharu, Arab Saudi mahu suntikan kali ketiga bagi Sinovac sahaja manakala Pfizer dan Astra Zeneca tidak memerlukan dos penggalak ini.

"Ia bermakna mereka yang mengambil suntikan Sinovac sebelum ini dibenarkan menunaikan umrah namun perlu mengambil suntikan kali ketiga," katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, beberapa agensi pelancongan memaklumkan mengenai syarat tambahan bagi umrah norma baharu termasuk suntikan Sinovac tidak diterima.

Syarat lain yang dikenakan ialah kebenaran membabitkan sekali umrah sahaja, 25 orang dalam sebuah bas, hanya bilik berdua dibenarkan dan jemaah berusia 18 tahun ke atas boleh menunaikan umrah.

Ogos lalu, kerajaan Arab Saudi meluluskan dua lagi vaksin COVID-19 iaitu Sinovac dan Sinopharm selain Oxford-AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Johnson & Johnson dan Moderna.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebelum ini turut merancang meningkatkan jumlah jemaah umrah sehingga mencecah 120,000 orang sehari.

Arab Saudi mula menerima permohonan umrah dari luar negara untuk jemaah yang divaksin pada 9 Ogos lalu.

Pada masa sama, Razali berkata, syarat tambahan dikenakan kerajaan Arab Saudi menyebabkan kos umrah bagi seorang jemaah meningkat antara RM2,000 hingga RM3,000.

Beliau berkata, peningkatan itu tidak dapat dielak berikutan penambahan kos visa, ujian saringan kendiri, kemudahan penginapan dan pengangkutan.

Katanya, ia menjadikan kos bagi menunaikan umrah meningkat kepada RM8,500 berbanding kira-kira RM5,500 sebelum ini.

"Dulu kos visa sekitar RM250 hingga RM300 sekarang meningkat kepada RM600 membabitkan insurans dan kos ujian saringan sekali.

"Syarat tambahan dikenakan kerajaan Arab Saudi sememangnya menyebabkan kos umrah meningkat," katanya.

bharian/-

Tiada ulasan: