12 Oktober 2021

Ronaldo terus idam buru rekod baharu

 

RONALDO berazam untuk terus mencari gol ketika Portugal bakal berdepan Luxembourg pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 awal pagi esok. – AFP

ALMANCIL – Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo nampak­nya masih belum puas melakar rekod bersama pasukan itu selepas meledak gol peribadi ke-112 di pentas antarabangsa ketika menewaskan Qatar 3-0 kelmarin.

Pemain Manchester United itu terus meletakkan sasaran untuk memperbaharui rekod tersebut menjelang aksi Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Luxembourg di Stadium Algarve awal pagi esok.

Menerusi 112 gol yang dija­ringkan di pentas antarabangsa, Ronaldo kini sudah menjaringkan 792 gol sepanjang kariernya, sekali gus menyaksikan dia semakin menghampiri angka 800 gol.

“Rekod adalah sesuatu yang sangat hebat tetapi khidmat bersama pasukan negara membuatkan saya lebih puas dan 181 penampilan bersama Portugal adalah perkara yang sangat membanggakan.

“Secara jujur, saya langsung tidak menjangka boleh menja­ringkan gol ke atas 46 pasukan negara yang berbeza. Saya tidak mahu berhenti setakat ini kerana saya dahagakan lebih banyak kejayaan,” kata Ronaldo.

Selain 112 gol yang dijaringkan di peringkat antarabangsa, Ronal­do juga berjaya memintas bek tengah Sepanyol, Sergio Ramos sebagai pemain Eropah pa­ling banyak memiliki kap bersama pasukan negara dengan 181 penampilan.

Pemain berusia 36 tahun itu hanya dibezakan 10 penampilan dengan legenda bola sepak Malaysia, Soh Chin Ann yang masih memegang rekod penampilan terbanyak di pentas antarabangsa dengan 195 kaps. – AGENSI

Tiada ulasan: