12 Oktober 2021

Sabah benarkan kanak-kanak bawah 12 tahun makan di premis

 MASIDI Manjun.

MASIDI Manjun.

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun untuk makan di premis (dine-in), dan masuk ke premis perniagaan ditemani ibu bapa yang menerima dos lengkap vaksin Covid-19, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, premis perniagaan terbabit termasuk pusat beli-belah serta fasilti perhotelan, dan kanak-kanak juga dibenarkan menyertai aktiviti perkelahan serta perkhemahan.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu, berkata remaja berusia 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 turut diberi kebenaran yang sama.

"Penduduk diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata, 69.9 peratus atau 1.92 juta penduduk dewasa dan 22 peratus atau 91,683 remaja sudah menerima vaksin lengkap Covid-19 di negeri ini.

Katanya, sebanyak 532 kes Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 206,048 kes, dan 1,623 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 193,445 orang manakala 2,402 pesakit masih dirawat.

Bernama.

Tiada ulasan: