12 Oktober 2021

3 peratus kakitangan YIK tolak vaksin

 

Kota Bharu: Tiga peratus daripada 2,600 kakitangan akademik dan pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK) belum menerima vaksin Covid-19 malah, mendakwa ragu-ragu untuk mengambil suntikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Timbalan Pengarah Pengurusan YIK Shamsul Abu Bakar berkata, sebelum ini 87 warga YIK menolak vaksin dengan alasan mengandung dan mempunyai masalah kesihatan.

Berikutan itu, katanya, pihaknya mengadakan pertemuan dengan semua kakitangan terbabit dan memberi kaunseling serta nasihat berhubung kepentingan vaksinasi bagi mengelak penularan Covid-19.

"Ada antara mereka berubah fikiran selepas pertemuan dan menyatakan persetujuan untuk menerima vaksin.

"Kami jangkakan semua kakitangan YIK akan lengkap menerima vaksin sebelum November ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan 30 Sofa Terpakai oleh Hotel The Grand Renai (TGR) di sini, hari ini yang turut dihadiri pengurus besar hotel itu, Amer Ahmad.

Mengenai PICK Remaja membabitkan pelajar institusi di bawah YIK, Shamsul berkata, ia berjalan lancar dan rata-rata mereka menerima vaksin berkenaan.

"Diakui ada juga pelajar yang tidak mahu lagi divaksin disebabkan terpengaruh dengan pandangan ibu bapa mereka, namun jumlahnya kecil. Saya harap mereka berubah fikiran dan terima vaksin demi kesihatan masing-masing," katanya.

Untuk rekod, YIK menyelia 93 sekolah dan pondok moden di seluruh Kelantan.

Terdahulu, pada majlis itu TGR menyumbang set sofa terpakai bernilai hampir RM20,000 untuk kegunaan institusi di bawah YIK.

Amer berkata, sumbangan itu sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel yang diharap memanfaatkan penerima dan ia selaras kempen kesedaran 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

hmetro/-

Tiada ulasan: