19 Disember 2021

Banjir: Masjid di Wilayah Persekutuan jadi pusat penempatan sementara

 

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR:
 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad, mengarahkan masjid di Wilayah Persekutuan dijadikan tempat penempatan sementara mangsa banjir.


Lokasi penempatan mangsa banjir itu termasuk Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Masjid-masjid di Wilayah Persekutuan telah bersedia dan juga akan menyediakan keperluan-keperluan yang bersesuaian.

“Pihak masjid juga menguruskan makanan melalui Program Dapur It’am dan JAWI Food Bank,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menyelaraskan masjid di Wilayah Persekutuan bagi tujuan itu.

Beliau turut mengarahkan pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan keperluan untuk membantu mangsa banjir.

Sementara itu, beliau berharap mangsa banjir terus bersabar dengan ujian daripada Allah SWT yang menimpa. – HARAKAHDAILY 19/12/2021

Tiada ulasan: