SEREMBAN: Keluarga Mohd Yusof Hanafi diuji dugaan berat apabila rumah mereka dipenuhi timbunan kayu dan pokok besar yang tumbang akibat dihanyutkan arus deras banjir di Batu 7 Kampung Pantai di sini, malam tadi.
Menceritakan detik cemas ketika banjir melanda kawasan rumahnya, Mohd Yusof, 55, berkata hujan berterusan sejak jam 7 malam tadi menyebabkan air naik mendadak ke paras dada.
Tanpa berfikir panjang, beliau terus bertindak menyelamatkan ibu mentuanya yang berusia 94 tahun dengan memindahkan warga emas itu ke rumah jiran apabila air semakin naik, selain menyelamatkan tiga anak serta isteri.
"Sepanjang 18 tahun berkahwin dan menetap di sini bersama isteri, ini kali pertama kami sekeluarga menghadapi banjir seteruk ini, selalunya air naik tetapi setakat di tempat letak kereta saja.
"Semua barangan rumah saya rosak, televisyen dan pakaian juga terkena air banjir, manakala dinding rumah rosak.
"Saya juga tidak sempat menyelamatkan dokumen penting, hanya memikirkan keselamatan anak, isteri dan ibu mentua saja," katanya.
Tinjauan mendapati selain rumah Mohd Yusof, terdapat sebuah lagi rumah turut berdepan situasi sama dan kini kerja pembersihan laman di kediaman terbabit giat dilakukan anggota Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Mohd Yusof yang juga pekerja sebuah kilang di Bangi, berkata kerja pembersihan laman itu dijangka mengambil masa lebih seminggu untuk mengangkat timbunan kayu dan pokok besar serta membersihkan lumpur dalam rumah.
Beliau berkata, beberapa kawasan di sepanjang Jalan Pantai dekat sini dipenuhi lumpur paras buku lali, manakala air banjir di kawasan itu surut sejak pagi tadi.
Katanya, barangan persekolahan tiga anaknya yang berusia 11, 14 dan 16 tahun juga rosak.
"Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana ketika kejadian, dua kereta sempat dialihkan ke lokasi lebih tinggi," katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan