19 Disember 2021

PRN Sarawak: 169 calon hilang deposit

 

KUALA LUMPUR: Seramai 169 daripada 349 calon yang bertanding pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kali ini hilang wang deposit.


Calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) antara parti yang paling banyak hilang deposit dengan 66 daripada 73 calon parti itu gagal meraih satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira dalam kerusi DUN yang ditandingi mereka.

Antara calon PBK yang hilang deposit ialah Tomson Ango (DUN Gedong), Goem  Pijar (DUN Tanjong Datu), Jacky Chiew Su Chee (Beting Maro), Chai Kueh Khun (DUN Batu Kawah), Mohamad Hamdeen Saharuddin (DUN Asajaya), Edison  Jamang (DUN Tarat) dan Saharuddin Abdullah (DUN Simunjan).

Manakala, calon PKR hilang deposit di 22 daripada 28 kawasan yang ditandingi termasuk pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh yang kalah di DUN Beting Maro selepas menghadapi persaingan lima penjuru.

Seramai 23 daripada 30 calon Bebas turut hilang deposit antaranya Hii Tiong Huat (DUN Bukit Assek), Agnes Padan (DUN Ba’kelalan), Mohd Adenan Zulkeppli (DUN Semop) dan Abd Mutalip Abdullah (DUN Kuala Rajang).

Selain itu, lima calon yang bertanding di DUN Dudong, terpaksa akur dengan kekuatan Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing yang memperoleh undi majoriti 5,806 dalam pertandingan lapan penjuru di kerusi berkenaan.

Calon hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira. – BERNAMA

Tiada ulasan: