19 Disember 2021

Media sosial JAKIM salur info berkaitan banjir

 

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengerahkan pasukan media sosialnya berperanan membantu menyebar serta memberi maklumat dan panduan yang tepat kepada masyarakat mengenai bencana banjir yang berlaku.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, media massa dan telekomunikasi sangat terkehadapan bagi tujuan menyelamatkan mangsa dan menghantar bantuan banjir selain menyebar maklumat.

Selain itu katanya, semua lapisan masyarakat terutama yang terlibat dengan bencana banjir perlu sentiasa peka serta mematuhi segala arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Oleh itu, sekiranya pihak berkuasa mengeluarkan sebarang arahan untuk berpindah dari kediaman masing-masing masyarakat perlu segera bertindak.

“Malah, suka juga saya ingatkan kepada masyarakat jangan anggap banjir sebagai pesta untuk suka-suka bermain air dan perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana kita berjaga-jaga bagi elak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis khatan perdana Parlimen Pengkalan Chepa yang diadakan di Klinik Eid Sofia, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berharap tindakan yang diambil pihak berkuasa serta arahan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob supaya semua kementerian berkaitan menggerakkan semua aset di kawasan terjejas banjir dapat membantu serta mengelak sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Perdana Menteri pada kenyataan sebelum ini mengarahkan semua kementerian berkaitan menggerakkan aset di kawasan terjejas banjir bagi memastikan rakyat diselamatkan serta ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) secepat mungkin. – HARAKAHDAILY 19/12/2021

Tiada ulasan: