19 Disember 2021

[VIDEO] Hanya mampu selamatkan nyawa, keluarga

 

RUMAH penduduk yang dinaiki banjir sehingga paras bumbung di Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

PETALING JAYA: “Hanya mampu selamatkan nyawa diri dan keluarga tanpa fikir harta benda”.

Itu luahan mangsa banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat dekat sini ketika rumah yang didiami dinaiki air sehingga paras bumbung rumah.

Menurut Kamalisa Musa, 52, kediamannya antara ratusan rumah yang terjejas teruk akibat hujan berpanjangan sejak semalam.

KEADAAN banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat. – MEDIA SOSIAL

Bagaimanapun katanya, dia sempat menyelamatkan diri serta keluarga ke rumah ketua kampung yang terletak agak tinggi kira-kira 100 meter dari kediamannya.

“Ini kejadian terburuk selepas hampir 30 tahun tinggal di sini. Sebelum ini pernah banjir tetapi tidak sampai ke bumbung, itu sebab ada penduduk terperangkap di atas bumbung kerana mereka tidak sangka rumah dinaiki air sehingga paras itu.

“Kejadian ini berlaku mungkin disebabkan hujan yang tidak berhenti sejak kelmarin serta air empangan yang dilepaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, setakat pukul 1 petang ini, air kini surut pada paras pinggang dan diharap akan surut sepenuhnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: