19 Disember 2021

Hanya tinggal tangga rumah hanyut

 (Gambar kiri) Keadaan rumah pusaka ibu bapa Rodiah di Kampung Jawa, Hulu Langat sebelum dilanda banjir. (Gambar kanan) Hanya tinggal tangga selepas dilanda banjir. - Foto Rodiah Mahfuz

(Gambar kiri) Keadaan rumah pusaka ibu bapa Rodiah di Kampung Jawa, Hulu Langat sebelum dilanda banjir. (Gambar kanan) Hanya tinggal tangga selepas dilanda banjir. - Foto Rodiah Mahfuz

KUALA LUMPUR: 'Hanya tinggal tangga batu selepas rumah dihanyutkan banjir, awal pagi tadi'.

Itu reaksi Rodiah Mahfuz, 56, berikutan rumah pusaka ibu bapanya di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, musnah dinaiki air akibat hujan lebat sejak semalam.

Rodiah berkata, rumah itu didiami kakak sulungnya, Rohana Mahfuz, 75, yang memaklumkan paras air mula naik di rumah itu, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Berikutan itu, katanya, orang kampung menasihati Rohana supaya mengosongkan rumah berkenaan dan berteduh di rumah ahli keluarga terdekat.

"Saya ada enam beradik termasuk yang tinggal di Salak Tinggi, Bangsar dan Melaka. Kakak sulung tinggal seorang diri di rumah itu, kerana ibu bapa sudah meninggal dunia.

"Nasib baik tengah malam tadi kakak sempat keluar menggunakan kereta ke rumah saudara dekat kawasan berkenaan. Namun, dokumen seperti kad pengenalan, perabot dan barangan lain tidak sempat diselamatkan kerana keadaan banjir yang sudah teruk.

"Saya mendapat maklumat rumah itu hanyut daripada ahli keluarga lain pada jam 10 pagi tadi, sebelum meminta saudara dekat kawasan berkenaan tinjau rumah itu yang kemudian mengesahkan ia sudah musnah dengan tinggal hanya tangga," katanya kepada BH, hari ini.

Rodiah berkata, rumah itu pernah mengalami kerosakan teruk akibat banjir 30 tahun lalu, namun tidak pernah musnah hingga dihanyutkan seperti terjadi awal pagi tadi.

"Kali ini rumah tinggal tangga sahaja. Nasib baik ada penduduk yang sentiasa mengambil berat keadaan jiran masing-masing bagi membolehkan kakak sulung keluar rumah sebelum ia dihanyutkan.

"Tidak sangka sampai rumah hanyut sebab sebelum ini selalu banjir di kawasan rumah sahaja," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: