30 Disember 2011

4 warga asing terima hukuman

5 Safar 1433H. [MOD] -

AYER KEROH – Akibat salah guna pas lawatan dan menetap melebihi tempoh dibenarkan di negara ini, empat warga asing menerima hukuman di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Mokhtar Ahmed Musleh Al-Qadri, 25, didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai walaupun menetap di negara ini menggunakan pas lawatan sosial sah sehingga 27 Februari depan.

Mokhtar yang memegang pasport Yemen, melakukan kesalahan itu pada 17 Disember lalu, am 4.20 petang di Mini Market Turky, Jalan Bukit Beruang Utama.

Dia melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama.

Sementara itu, Puji Ambarwati, 36, dipenjara enam bulan daripada tarikh ditangkap selepas mengaku bersalah tinggal lebih masa selama setahun empat bulan 17 hari di negara ini.

Puji yang juga warganegara Indonesia dan mempunyai pas lawatan kerja sementara sehingga 21 Julai 2010, melakukan kesalahan itu pada 7 Disember lalu, jam 11 malam di sebuah rumah di Jalan Kandang, Bakar Batu.

Manakala, dua pemegang pasport Thailand, Thach Thi Thuy Quynh, 23 dan Tran Thi Tuyet Diem, 23, masing-masing dipenjara enam bulan.

Mereka ditahan pada 7 Disember lalu jam 12.30 tengah hari di Klebang, selepas dibenarkan masuk dan berada di negara ini atas pas lawatan sosial sah sehingga 4 dan 6 Disember lalu.

Justeru, ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) ( c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia, Natijah Abu Hasan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Sinar Harian

Tiada ulasan: