30 Disember 2011

8 restoran tiada sijil halal Jakim

5 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA - Pelbagai alasan diberikan oleh pemilik sewaktu operasi pemeriksaan sijil halal dibuat oleh Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia LPKPM di kawasan perniagaan Sunway Mentari semalam.

Apa yang pasti daripada lapan restoran Islam yang diperiksa kesemuanya tidak mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tambah merisaukan apabila bahagian dapur beberapa restoran terkenal di situ turut didapati kotor dan menjadi tempat pembiakan tikus dan juga lipas.

Pengerusi Pemakanan Halal dan Haram (Syarak) LPKPM, Abdul Aziz Ismail berkata, situasi yang berlaku di restoran Islam itu amat menyedihkan.

“Kita dapat tahu sebuah restoran mendapatkan bekalan daging ayam yang diragui status sembelihannya termasuk membeli ayam daripada pembekal bukan Islam dan mereka juga gagal menunjukkan resit pembelian ketika diminta,” katanya.

Menurutnya, restoran yang dimiliki oleh orang Islam perlu memahami konsep Halalan Toyiban terutama dalam urusan menjalankan perniagaan makanan.

“Semua aspek perlu diambil kira bukan setakat ayam itu disembelih atau tidak, sebaliknya etika, cara pemakaian dan penyediaan makanan perlulah mengikut hukum syariah,” katanya.

Berhubung masalah tersebut, LPKPM akan menghantar surat rasmi kepada Jakim, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk diadakan pertemuan bagi membincangkan tentang perkara itu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: