30 Disember 2011

Penjaga parkir ke tali gantung

5 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang penjaga parkir dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam, setelah didapati bersalah membunuh seorang lelaki, tiga tahun lalu.

Marimuthu Krishnan, 37, didakwa membunuh Md Rashid Mahamud, 45, kira-kira jam 5 petang, 28 Ogos 2008, di atas jalan batu kerikil menghala ke ladang kelapa sawit OSK Properties Sdn Bhd, berhampiran pasar raya Econsave, Jalan Kuala Ketil.

Marimuthu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

Menurutnya, terdapat saksi melihat Marimuthu melepaskan tembakan terhadap Md Rashid, dari jarak enam meter dan keterangan itu menafikan kenyataan Marimuthu yang mendakwa tidak berada di tempat kejadian kerana berada di Pulau Pinang ketika itu.

“Marimuthu berada dalam keadaan keliru sewaktu memberikan keterangan bela diri, malah lambat menjawab soalan-soalan dikemukakan peguamnya.

“Pembelaan tidak dapat menyangkal keterangan lapan saksi pendakwaan dan tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah, dan Marimuthu didapati bersalah dan disabit dengan pertuduhan,” katanya.

Zakiah berkata, setelah mendengar rayuan Marimuthu, mahkamah tidak ada budi bicara melainkan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati, mengikut peruntukan undang-undang.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud, manakala Marimuthu diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.

Sinar Harian

Tiada ulasan: