30 Disember 2011

Akhbar khas hasut peneroka sokong penyenaraian?

5 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mempersoal penerbitan akhbar '1SUARA' yang diedar percuma kepada warga peneroka sejak November lalu.

Beliau mempersoal, dari mana sumber kewangan diperolehi bagi menerbitkan akhbar yang mempunyai 32 muka surat dengan warnah penuh tersebut yang dipercayai menelan kos yang sangat tinggi.

"Kita nak tahu siapa yang taja, ambil duit dari mana, berapa ribu kos habis," katanya kepada Harakahdaily.

Akhbar khas '1SUARA' diterbitkan pihak tertentu dipercayai sebagai usaha 'menghasut' warga peneroka menyokong penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia (BSKL).

Dengan penerbitan dua kali sebulan, akhbar 1SUARA tersebut kini dipercayai sudah menerbitkan bilangan ketiga mereka.

Pada edisi pertamanya untuk tarikh 15 Nov hingga 30 Nov, akhbar itu menggunakan tajuk "Peneroka tertipu?" sebagai tajuk utama di muka depan akhbar itu bersama petikan 'penjelasan' oleh Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.

Selain itu, muka depan akhbar itu juga meletakkan gambar artis wanita Neelofa dengan tajuknya "Neelofa bercakap tentang lelaki!" dipercayai untuk menarik pembaca mendapatkan naskhah akbar tersebut.

Edisi pertama itu juga turut memuatkan temubual tiga muka surat bersama Isa.

Selain menceritakan 'kebaikan' penyenaraian dan 'faedah' yang bakal dinikmati peneroka, akhbar sama juga tidak ketinggalan memburukkan pihak yang menghalang agenda penyenaraian itu.

Ianya termasuklah Presiden Anak sendiri, Mazlan Aliman yang dilihat menjadi 'musuh nombor satu' akhbar itu dipercayai kerana gerakan beliau meyakinkan penoroka bagi membantah penyenaraian tersebut.

"Saya tidak kisah mereka nak hentam saya guna akhbar ini. Saya dapat maklumat terbitan terbaru akan datang sarat dengan kecaman terhadap Anak dan saya.

"Bagi saya, lagi mereka hentam lagi banyak yang saya akan dedahkan," kata Mazlan mengulas perkara itu.

Harakah Daily

Tiada ulasan: