30 Disember 2011

Tiga kanak-kanak hilang dikhuatiri lemas di Sungai Perak

5 Safar 1433H. [MOD] -

GERIK: Polis hari ini meneruskan operasi untuk mencari tiga kanak-kanak lelaki yang dipercayai hilang di Sungai Perak dekat Kampung Kuala Kenderong, di sini sejak semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik DSP Wan Jamil Wan Chik berkata ketiga-tiga mangsa itu ialah Mohd Saiful Haikal Dahari, 7, dan dua sepupunya Mohd Amir Ruzai, 11, dan adiknya Adaham, 8.

Mereka dikatakan menaiki sebuah bot di Sungai Perak berhampiran kampung berkenaan yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka pada 10 pagi semalam dan tidak pulang ke rumah sehingga petang semalam, katanya di sini hari ini.

Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis pada pukul 2.30 petang apabila ketiga-tiga mereka masih tidak pulang ke rumah.

Polis yang menerima laporan tersebut, kemudian mengadakan operasi mencari dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Rela dan penduduk sehingga malam tadi tetapi gagal menemui ketiga-tiga mangsa. -- BERNAMA

Tiada ulasan: