30 Disember 2011

17 terbunuh gudang meletup

5 Safar 1433H. [MOD] -

PEKERJA penyelamat membawa keluar mangsa dari kawasan kebakaran akibat letupan gudang menyimpan serbuk letupan yang digunakan untuk meletupkan kawasan lombong di Yangon.

108 turut cedera akibat kebakaran besar di tempat simpan serbuk letupan

YANGON: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh, manakala 108 lagi cedera selepas letupan besar berlaku di gudang menyimpan serbuk letupan yang digunakan untuk meletupkan kawasan lombong awal pagi di bandar paling besar Myanmar, Yangon, kata pegawai bomba dan polis semalam.

Letupan itu mengakibatkan kebakaran besar manakala asap menjulang ke udara dan hanya berjaya dikawal lewat pagi, kata pegawai.
Pegawai polis yang enggan namanya disiarkan berkata 12 lelaki dan lima wanita disahkan mati, bagaimanapun jumlah kematian dijangka meningkat.
“Pada mulanya kebakaran berlaku dalam gudang menyimpan serbuk letupan. Ia kemudian mengakibatkan letupan dan api merebak. Saya tidak rasa ia berlaku akibat sabotaj,” kata pegawai bomba Yangon.

Letupan berlaku kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan kelmarin di Perbandaran Mingalar Taung Nyunt timur Yangon, bekas ibu negara Myanmar dan pusat komersilnya.

Pemandu teksi, Ko Tin Than, 33, yang ketika itu memandu berhampiran tempat kejadian berkata seluruh kawasan diliputi debu.

“Ia seperti letupan gunung berapi yang kita lihat dalam filem. Dua atau tiga orang yang berada 100 meter dari gudang itu terbunuh akibat terkena serpihan yang berterbangan,” katanya.
Beberapa saksi berkata kebakaran itu mencetuskan beberapa letupan kecil. Polis berkata tiga bomba antara yang terbunuh.

“Setahu saya, gudang itu dimiliki kerajaan dan ada diantara mereka diupah Myanma Economic Holding Limited di bawah Kementerian Pertahanan. Saya rasa gudang serbuk letupan itu untuk kegunaan lombong bukannya membuat senjata,” kata pesara kerajaan yang enggan namanya dikenali.

Saksi berkata, jentera bomba dari seluruh bahagian Yangon berada di tempat kejadian.

Rakaman televisyen menunjukkan pasukan penyelamat mengangkat mangsa di atas pengusung dalam kegelapan di bangunan yang musnah teruk.

Saksi berkata rumah dan kilang musnah tetapi laporan awal memberitahu yang api merebak ke limbungan kapal berdekatan tetapi tidak disahkan.

Gegaran letupan itu dirasai ramai penduduk di timur dan tengah Yangon. Than Soe, penduduk di kawasan perumahan Yuzana Mingalar yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian berkata gambar di dinding jatuh dan tingkap bergegar ketika letupan.

“Bunyinya terlalu kuat yang pada awalnya kami menyangka tahi bintang jatuh ke bumi,” katanya. – Reuters

Tiada ulasan: