16 Februari 2012

Janji manis lebur ratusan ribu

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Terpedaya kata-kata manis yang ditabur sindiket kaki auta dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai hingga ratusan ringgit, 10 orang pelanggan tertipu dengan helah liciknya mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitenden Mohamad Zaki Harun berkata, sindiket penipuan itu mula dikesan beroperasi pada bulan November tahun lalu, apabila memulakan operasinya dengan menyewa sebuah premis dekat Intan Nova, di sini.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 15 laporan diterima melibatkan syarikat sama melakukan sindiket penipuan itu yang dipercayai dilakukan oleh dua lelaki serta tiga wanita.

“Operasi memperdaya mangsa berusia antara 30 hingga 50 tahun itu bermula apabila suspek menelefon mangsa secara rawak sebelum menabur janji-janji manis sehingga memperdaya mereka,” katanya.

Tambah Zaki, operasi memperdaya mangsa itu dipercayai dijalankan sekumpulan suspek bagi mengerakkan modus operandi menggunakan habuan mencecah ratusan ribu ringgit.

“Apabila kesemua mangsa dihubungi, mereka mulai terpancing dengan janji-janji manis yang ditabur suspek. Kemudian, mangsa dikehendaki untuk datang ke pejabat suspek bagi menuntut hadiah cabutan bertuah yang telah mereka menangi.

“Setelah mangsa datang untuk menuntut hadiah cabutan bertuah yang dimenangi itu, mereka diminta oleh seorang perempuan untuk membayar cagaran sebanyak RM8,450,” Zaki berkata demikan ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Hilir Perak, di sini.

Setelah mangsa bersetuju membayar jumlah yang diminta, pihak sindiket memberikan sebuah set kerusi urut jenis Omigawa dan jika mangsa mahukan hadiah lain, perlu membuat bayaran lain sebelum barang itu diberikan.

“Daripada 15 kes yang dilaporkan, 10 kes disiasat pihak kami manakala lima kes disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)” katanya.

Menurutnya, setelah mendapat laporan daripada mangsa, pihaknya ada menjalankan serbuan ke atas premis yang dikatakan menjadi pejabat sindiket penipuan namun ia ditinggalkan kosong dipercayai kumpulan berkenaan telah melarikan diri.

“Pihak kami akan mengesan pemilik premis yang digunakan dan disewa oleh kumpulan sindiket tersebut untuk mendapatkan maklumat berkenaan suspek.

“Kami juga sedang menyiasat bagaimana suspek mendapat nombor telefon mangsa penipuan yang dilakukan oleh sindiket itu dan jumlah kerugian daripada 10 kes tersebut disiasat oleh pihaknya bernilai RM245,649,” katanya.

Selain itu, lima orang individu dikesan yang percaya boleh membantu siasatan pihak polis dalam kes sindiket penipuan di kawasan daerah ini melibatkan 15 kes dikesan.

“Individu yang dicari, Tan Tiong Khoon nombor kad pengenalan 720219-01-5281, seterusnya Tan Hui Lin, bernombor 68112501-01-5748, Mohd Azlan Ahmat bernombor 831017-08-5555, Nor Azura Mohamed bernombor 821220-11-53-86 dan Siti Atiqah Ahmat 900506-08-5894,” katanya.

Zaki menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan taktik penipuan menggunakan modus operandi dengan menawarkan cabutan hadiah bertuah bernilai hingga ratusan ribu ringgit.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes penipuan tersebut bolehlah menyalurkan maklumat mereka kepada pegawainya, Inspektor Siti Zubedah M. Kasim di talian 05-6299222 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: