16 Februari 2012

Taktik sorok dalam almari

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Taktik seorang lelaki menyorok dalam almari pakaian rumahnya ketika serbuan polis bagi mengelak ditahan, gagal, apabila dia berjaya dicekup atas dakwaan pecah rumah, bulan lalu.

Hadi Derahman, 35, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lorong Jalan Dusun, Pengkalan Chepa di sini, antara jam 8 pagi, 13 Januari dan 12.30 pagi, 25 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri kipas, 39 pinggan dan 25 mangkuk jenama Duralex serta mesin basuh Sharp yang keseluruhannya bernilai RM7,000.

Tertuduh bagaimanapun, menafikan perbuatan itu namun mengaku mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana melupuskan dengan cara menjual barangan curi tersebut di Jalan Pulau Nangka di sini pada jam 8 malam, 22 Januari lalu.

Berikutan pengakuan itu, Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara terhadapnya.

Sejurus selepas keputusan dibacakan, seorang wanita dipercayai isterinya menangis di tempat duduk awam bilik mahkamah tersebut.

Mohd Fazaly Ali mengarahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditahan pada 26 Januari lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: