16 Februari 2012

Dua beradik tinggal sehelai sepinggang

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG – Dua beradik dari Banggol Kulim di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka hangus dalam kebakaran kira-kira jam 5.15 petang semalam.

Bukan itu sahaja, kedua beradik berkenaan juga tidak sempat menyelamatkan kesemua dokumen penting yang ditinggalkan di rumah itu.

Mangsa, Noriah Hanafi, 40, berkata, dia tinggal di rumah berkenaan bersama adiknya dan tidak ada di rumah ketika kejadian.

Noriah berkata, ketika itu dia berada di sebelah rumahnya dan dapat melihat asap keluar dari bahagian dapur rumahnya.

“Setelah melihat asap keluar dari bahagian dapur, saya terus menghubungi bomba dan penyelamat untuk memadamkan kebakaran.

“Selepas rumah hangus terbakar, saya tinggal di rumah keluarga yang terletak tidak jauh dari sini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya yang musnah terbakar, semalam.

Noriah semalam menerima sumbangan RM1,000 daripada Tabung Serambi Mekah yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Periok, Mohamed Awang.

Menurutnya, dia bersyukur kerana ada pihak yang simpati dengan bencana yang menimpa dia dua beradik.

“Saya berterima kasih kepada pihak yang datang melawat seterusnya menghulurkan sumbangan kewangan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Ghani Mamat berkata, pihaknya ke tempat kejadian dengan dua jentera dan sembilan anggota.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 5.23 petang dan berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 15 minit.

“Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6 petang.

“Kita menggunakan tiga pancutan bagi memadam kebakaran dai arah belakang rumah bagi mengelak merebak ke rumah berdekatan,” katanya.

Ghani berkata, kebakaran berjaya dipadamkan dengan kerjasama daripada 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Unit Rantau Panjang, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, berikutan kebakaran ini menyebabkan keseluruhan struktur bahagian atas rumah ini musnah.

“Kesemua barang milik mangsa juga musnah terbakar dan kerugian dianggarkan sekitar RM70,000.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian sebenar juga masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Periok, Mohamed Awang berkata, pihaknya akan mengkaji bantuan seterusnya yang sepatutnya diterima mangsa berikutan bencana yang menimpanya.

Menurutnya, bantuan segera RM1,000 disumbangkan di bawah Tabung Serambi Mekah dan baki RM1,000 akan diberikan dalam tempoh terdekat.

Ketua Jajahan Pasir Mas merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Mas, Mohd Ghazali Mohamad, Timbalan Ketua Jajahan, Bahagian Pembangunan, Ahmad Shukeri Ismail dan pemimpin tempatan turut hadir melawat mangsa.

Sinar Harian

Tiada ulasan: