16 Februari 2012

Jaringan Owona buat Jang lega

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JARINGAN pemain import, Jean Emmanuel Effa Owona memastikan skuad Hoben Jang Hoben tidak berputih mata di gelanggang sendiri, apabila berjaya mengikat PKNS FC 1-1, dalam sai­ngan Liga Super 2012. di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.

Pasukan Semut Api terlebih dahulu di hadapan melalui sepakan penalti Paulo Sergio Ferreira pada minit ke-43, untuk mendahului tuan rumah.

Namun, Jean Emmanuel Effa Owona, menyelamatkan maruah Sang Rusa dengan gol penyamaan selang dua minit kemudian.

Kegagalan skuad bimbingan Mohd Azrai Khor pulang dengan tiga mata penuh, menambah kesal di wajah jurulatih itu yang menyifatkannya pasukannya banyak mensia-siakan peluang terhidang.

“Tidak dinafikan, pemain masih kepenatan selepas menghadapi perlawanan menentang Lions XII, Ahad lalu dan terpaksa pula memenuhi jadual ketat sebelum menerima kunjungan PKNS.

“Bagaimanapun, kekalahan kepada kelab dari Singapura itu bukan penyebab keputusan malam tadi (kelmarin),” katanya yang mengakui pasukan bimbi­ngannya mudah lesu dan tidak konsisten.

Mengenai persembahan sulung import baru, Marian Farback, Azraai berkata, masih banyak yang perlu diperbaiki, memandangkan pemain itu baru sahaja tiba dari Slovakia dan perlu diberikan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan corak permainan Jang.

“Memandangkan ini aksi pertama, saya percaya, Farback mampu lakukan yang terbaik pada perlawanan akan datang, dan mungkin dia kurang menyerlah kerana masih keletihan akibat jet lag’,” katanya yang tetap berpuas hati dengan pres­tasi pemain, walaupun tidak bernasib baik menang pertaruhan tersebut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: