16 Februari 2012

Beruang liar ditemui mati

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

FELDA KOTA GELANGGI 2 - Hasrat murni peneroka untuk membantu memberi makan kepada dua beruang liar di kebun kelapa sawit di sini, berkecai apabila salah seekor daripadanya ditemui mati.

Baba Madon, 65, berkata, beruang yang mati itu ditemui petang semalam dipercayai beruang betina berikutan ia seakan bunting, yang juga haiwan sama ditemui terjatuh ke dalam parit di kawasan ladang miliknya beberapa hari lepas.

Menurutnya, tidak ­diketahui punca haiwan tersebut mati, namun dia dan ­rakannya tidak menolak kemungkinan ia disebabkan kekurangan makanan di kawasan ladang kelapa sawit itu.

Atas rasa kasihan, saya dan rakan menyediakan ­setandan pisang untuk di­letakkan di tepi ladang kerana ia dilihat seolah-olah lapar dan tidak mampu bergerak.

“Usaha membantu ­haiwan liar tersebut dilakukan walaupun mengetahui ia boleh mengancam nyawa manusia,” katanya.

Rakannya, Shaharuddin Shamsuddin, 40, berkata, ­semenjak kehadiran haiwan itu disedari, ia tidak menunjukkan tanda mengancam manusia, malahan akan lari ke pinggir hutan apabila ter­serempak atau menyedari ­kehadiran manusia.

Menurutnya, bau bangkai binatang mula disedari setelah masuk bekerja di ladang sawit itu, dan apabila didekati ia adalah bangkai seekor beruang liar iaitu haiwan sama dilihat sebelum itu.

“Setelah menghampiri bangkai yang terlentang dan dihurung lalat itu nyatalah ia beruang betina yang sama yang kami lihat sendiri dan ­temui beberapa hari lepas,” katanya kepada Sinar Harian

Sinar Harian difahamkan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga sudah turun ke lokasi beruang tersebut ditemui, setelah menerima aduan dari-pada penduduk setempat.

Sinar Harian

Tiada ulasan: