16 Februari 2012

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Sebuah pasar raya yang dalam proses ubahsuai hangus dalam kebakaran di Jalan Dato Abdul Rahman, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, disedari orang ramai yang melalui kawasan tersebut dan segera menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rahang, Zakaria Amat yang mengetuai operasi itu berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 2.20 pagi dan tiba di lokasi kejadian, lima minit kemudian.

Katanya, sejurus tiba api sudah marak tetapi pihaknya berjaya mengawal keadaan supaya tidak merebak ke deretan kedai kanopi yang menjual pakaian berdekatan premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kebakaran hanya membabitkan sisa atau serpihan kayu berikutan bangunan berkenaan sudah dikosongkan untuk tu­juan pengubahsuaian.

“Kita mengambil masa kira-kira 25 hingga 30 minit untuk mengawal kebakaran,” katanya.

Menurutnya, seramai 25 anggota termasuk pegawai dan empat jentera, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Rahang dan Seremban 2, diarah ke lokasi berkenaan untuk memadam kebakaran.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana premis yang pernah menjadi panggung wayang itu didapati kosong ketika kejadian.

“Punca dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: