10 Februari 2012

"Kami mohon sagu hati"

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NUSAJAYA – Kira-kira 74 pemilik dan penyewa kedai termasuk tuan rumah di tanah rizab milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Layang-Layang, Simpang Renggam mohon pertimbangan supaya pihak bertanggungjawab membayar pampasan bagi tujuan perpindahan.

Peniaga kedai runcit, Ng Tian Hock, 42, berkata, kedai yang dibina bapanya di Jalan Stesen, sejak 30 tahun lalu malah mempunyai surat perjanjian dengan pihak KTMB, namun ianya telah tamat sejak 10 tahun lalu.

“Sebelum saya mengambil alih kedai berkenaan, bapa saya telah berniaga perabot selama 20 tahun di premis sama. Selepas perjanjian tamat, saya pernah membuat permohonan untuk memperbaharuinya namun tidak diluluskan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihak KTMB telah menyerahkan notis perpindahan pada 31 Mac tahun lalu, namun dia akui sebagai peniaga kecil-kecilan, dia memerlukan wang untuk mencari kedai baru di kawasan berhampiran.

“Saya bukan sahaja berniaga di situ, malah turut menjadikannya sebagai tempat tinggal di bahagian atasnya.

Saya bukan mahu ingkar dengan arahan yang diberikan, cuma memohon pertimbangan supaya dapat kiranya membayar sagu hati kepada pemilik atau pen­yewa kedai yang terlibat,” katanya.

Bagi pemilik kediaman di Jalan Teck Wah Heng, Layang-layang, Ker Weng Hoh, 68, berkata, namanya tercicir daripada senarai penerima wang sagu hati perpindahan, selepas menyewakan kediamannya sejak 35 tahun lalu.

“Saya kecewa apabila nama saya tiada dalam senarai, sedangkan rumah itu saya bina dengan wang simpanan ketika bekerja sebagai penjaja sebanyak RM10,000.

“Paling memeranjatkan, penyewa rumah saya pula yang disenaraikan sebagai penerima wang itu,” katanya.

Weng Hoh mengakui telah membuat laporan kepada pihak KTMB mengenai kesilapan itu.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Simpang Renggam Suhaizan Kaiat memaklumkan pihaknya mewakili kumpulan terbabit menghantar memorandum kepada Menteri Besar, Abdul Ghani Othman berkenaan bayaran sagu hati itu.

“Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit II kepada Menteri Besar Noor Azmi Md Omar” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: