10 Februari 2012

Tauke stesen minyak disamun

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SPRING HILL – Seorang pemilik sebuah stesen minyak di Bandar Spring Hill, dekat sini memulakan perniagaannya dengan situasi mengejutkan apabila disamun empat lelaki, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.40 pagi itu, pemilik yang dikenali sebagai Teoh Seng Lee, baru kira-kira 10 minit membuka stesen minyak berkenaan dan langsung tidak mempunyai wang di kaunter.

“Sebelum kejadian, empat lelaki datang ke stesen minyak saya menaiki sebuah kereta. Seorang daripada mereka berdiri di luar kereta, manakala dua lagi berada dalam kereta,” katanya.

“Sementara, seorang lagi masuk ke dalam kedai di stesen minyak dan berpura-pura mahu membeli air minuman,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan datang ke kaunter untuk membayar minuman sebelum tiba-tiba menunjukkan parang.

“Sebaik saja nampak parang itu, saya cuba melawan tetapi tidak berdaya menyebabkan saya cedera di tangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Mawar, Lukut, semalam.

Seng Lee berkata, akibat terlalu takut, dia kemudian terpaksa menyerahkan wang tunai berjumlah RM4,000 yang berada dalam poket seluar kepada penjenayah terbabit.

Menurutnya, seorang pekerja yang sedang berada di pam minyak berkenaan turut disamun penjenayah terbabit dan dianggarkan kerugian hampir RM300.

“Walaupun mengalami kerugian, namun saya bernasib baik kerana anak perempuan saya yang berada bersama saya sebelum dihantar ke sekolah tidak dicederakan,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Seng Lee membuat laporan di Balai Polis Lukut, dekat sini sebelum menerima rawatan di hospital.

Sinar Harian

Tiada ulasan: