10 Februari 2012

DAP cadang bayaran BR1M setiap tahun

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Perdana Menteri disaran supaya memberikan bantuan RM500 kepada keluarga miskin dan RM100 kepada pelajar setiap tahun untuk membuktikan bantuan itu bukan senjata politik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, bayaran-bayaran sekali sahaja ini akan menelan belanja Kerajaan sebanyak RM1.8 bilion untuk 3.4 juta isi rumah dan RM550 juta untuk 5.5 juta pelajar.

"Ini bukanlah satu jumlah yang terlalu banyak memandangkan negara kita kerugian berbilion ringgit setiap tahun," katanya.

Sebagai contoh, katanya, badan pemerhati kewangan yang berpangkalan di Washington iaitu Global Financial Integrity (GFI) telah melaporkan bahawa negara kita telah kehilangan RM1,077 bilion (termasuk wang rasuah) akibat dialirkan secara haram ke luar negara dari tahun 2000 hingga 2009.

Ini adalah tambahan kepada skandal RM12 bilion dalam kes Port Klang Free Trade Zone, skandal RM52 bilion saham bumi dan yang terbaru RM250 juta dalam skandal “lembu dan kondo” NFC, tambah beliau.

"Daripada membazirkan wang rakyat dengan projek-projek yang melampau ini, kerajaan patut memberi bantuan kepada rakyat yang memerlukannya dalam keadaan semasa yang dilanda inflasi tinggi dan hutang isi rumah yang melambung," cadang beliau.

Menurut beliau, berjuta-juta rakyat Malaysia menghadapi kesusahan terutama sekali dengan kos barangan harian yang sedang meningkat seperti:

1. Gula: RM1.45/kg (Jan 2010) kepada RM2.30 (Mei 2011) – 58% dalam 18 bulan.

2. Telur: Greg B RM9/30biji (Sep 2010) kepada RM10/30biji (sekarang).

3. Tarif Elektrik: kenaikan purata 7.12% pada bulan Jun 2011.

4. Teh Tarik dan Kopi Susu: Kenaikan RM0.10 hingga RM0.20 (9.1% hingga 18.2%).

5. Roti Gardenia: Kenaikan 5-14% (2011.

6. Cukai Perkhidmatan: Kenaikan 1% (cukai tambahan RM720 juta untuk Kerajaan Persekutuan).

7. Bawang: Kenaikan 17% (Dis 2010).

8. Milo: Kenaikan 5% pada suku pertama 2011, 4% pada setengah tahun kedua 2011.

9. Nescafe: Kenaikan 6% pada setengah tahun kedua 2011, di mana harga sudah >RM20/300gm

10. Semua makanan kegemaran ramai seperti roti canai, char koay teow dan nasi kandar makin kecil bahagiannya walaupun harga tetap sama.

Inflasi yang kian meningkat merupakan masalah serius kerana tahap hutang isi rumah yang tinggi, tambah beliau.

Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion ataupun 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lantas “menobatkan” Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

Tambahan pula, katanya, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang.

Biasanya, institusi kewangan tidak akan memberi pinjaman jika jumlah bayaran hutang melebihi satu pertiga pendapatan. Dengan kata lain, Malaysia kian menjadi negara penghutang, katanya.

Menurut Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, selain bantuan kewangan kepada rakyat, Kerajaan Persekutuan juga harus melaksanakan gaji minima.

"Pun begitu, gaji minima ini tidak bermakna jika ia tidak dihubungkan secara terus kepada kadar inflasi, seperti yang telah saya cadangkan dalam Persidangan Kebangsaan DAP awal tahun ini.

"Barulah kita boleh memartabatkan rakyat dan meningkatkan kualiti kehidupan," katanya.

Oleh itu, tambah beliau, DAP menyeru agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan keikhlasan dan komitmennya untuk membantu rakyat dengan menjadikan bantuan RM500 dan RM100 sebagai program tahunan, lantas membuktikan bahawa beliau bukan sekadar ingin “membeli” kemenangan dalam pilihan raya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: