10 Februari 2012

NFC: CEO NFC atau pegawai MoF bohong?

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Kenyataan CEO National Feedlot Corporation (NFC) bahawa pinjaman mudah RM250 juta kepada syarikat itu boleh digunakan untuk pelaburan hartanah bercanggah dengan maklumat yang diterima Jawatankuasa Kira Kira Awam (PAC).

Jika kenyataan ketua pegawai eksekutif (CEO) NFC Wan Shahinur Izmir Salleh itu benar bermakna, kenyataan pegawai kanan Kementerian Kewangan (MoF) kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) palsu.

Selepas mendapat tekanan hebat termasuk pendedahan pembelian dua lagi kondo mewah di Singapura, CEO NFC, Wan Shahinur Izmir Salleh semalam berhujah bahawa pembelian itu tidak salah.

Ini kerana perjanjian pinjaman mudah RM250 juta dari kerajaan kepada NFC tidak melarang syarikat tersebut daripada menggunakan dana untuk pelaburan yang tidak berkaitan dengan industri ternakan lembu.

Mempertahankan pembelian kondo-kondo mewah di bawah nama bapanya Datuk Seri Mohamad Salleh, yang juga pengerusi NFC, Izmir, yang juga anak kepada Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata tindakan syarikat tersebut tidak boleh disalahkan kerana membeli hartanah apabila projek fidlot tersebut dihentikan sementara untuk kajian daya maju.

Malah, katanya perjanjian pinjaman itu tidak menyatakan sebarang larangan untuk membuat pelaburan.

Namun, menurut ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, kenyataan Izmir bercanggah dengan dengan maklumat yang diterima PAC pada mesyuarat 23 November tahun lepas.

“Pegawai senior Kementerian Kewangan (MoF) telah secara spesifik menyatakan bahawa pinjaman (kepada NFC) tidak boleh digunakan untuk tujuan lain, dan ia sememangnya tiada peruntukan untuk pinjaman tersebut dilaburkan dalam bidang hartanah.

"Pegawai itu turut menyatakan bahawa tujuan pengeluaran setiap kali pinjaman mesti dinyatakan dengan jelas. Disoal lanjut, pegawai itu mengesahkan bahawa MoF yang mengeluarkan RM250 juta itu tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk membeli hartanah,” kata Pua dalam satu kenyataannya hari ini.

Oleh itu, Pua berkata sekiranya pegawai itu bercakap benar, maka Izmir telah terbukti berbohong mempertahankan sesuatu yang tidak boleh dipertahankan lagi.

Dalam mesyuarat itu juga, Pua berkata PAC telah meminta dokumen-dokumen yang berkaitan dengan skandal NFC termasuk perjanjian pinjaman, jadual bayaran, syarat-syarat yang dikenakan MoF pada pinjaman tersebut kepada komitee tersebut untuk semakan dan pengesahan.

Namun begitu, kata Pua mesyuarat PAC yang sepatutnya berlangsung bulan Januari lepas untuk membincangkan isu NFC dan juga projek berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad masih tidak dipanggil.

“Kita berharap benda ini tidak lagi ditangguh kerana rakyat berhak mengetahui kebenaran secepat mungkin terutamanya apabila projek ini telah menjadi skandal seluruh negara,” tegas beliau.

NFC mula mendapat perhatian apabila Ketua Audit Negara melaporkan bahawa projek tersebut hanya menghasilkan 3,289 ekor lembu, atau 41.1 peratus daripada sasaran yang ditetapkan untuk 2010.

Pada tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, NFC dilaporkan mengalami kerugian RM7 juta dan RM11 juta.

Perkara itu kemudian disusuli dengan pendedahan panas oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli memaparkan bagaimana pinjaman RM250 juta itu, yang diluluskan secara kontroversi pada zaman timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjadi Menteri Pertanian, telah digunakan untuk percutian, pembelian kondo mewah, Mercedez Benz dan tanah di Putrajaya.

Terbaru, Rafizi mendedahkan RM34 juta wang NFC telah digunakan untuk membeli dua lagi kondo mewah di Marina Bay, Singapura.

Harakah Daily

Tiada ulasan: