10 Februari 2012

Mahkamah batal rayuan Berita Harian ke atas Mahfuz

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA, 10 Feb: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan Berita Harian ke atas Datuk Mahfuz Omar tanpa kos setelah peguamcara Berita Harian memaklumkan kepada Mahkamah anakguam mereka menarik balik rayuan tersebut.

Panel Mahkamah Rayuan yang terdiri dari Yang Arif Hakim Datuk Jeffery Tan, Datuk Clement Skiner dan Datuk Aziah Ali membenarkan permohonan Berita Harian untuk menarik balik rayuan tersebut apabila peguamcara Datuk Mahfuz, Mohamed Hanipa Maidin tidak membantah permohonan peguam Berita Harian tersebut.

Beita Harian pada 23 September 2009 memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan atas keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Haji Mohd Yazid bin Mustafa yang membenarkan tuntutan gantirugi Mahfuz ke atas Berita Harian sebanyak RM150,000-00.

Tuntutan itu dibuat di atas laporan berita yang disiarkan di akhbar tersebut bertarikh 9/11/2000 di muka hadapan akhbar bertajuk “ Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk”.

Atas berita yang bersifat fitnah tersebut, Mahfuz telah melalui peguamnya memfailkan writ saman ke atas Berita Harian dengan menamakan Ketua Pengarang akhbar tersebut pada masa itu Datuk Ahmad Rejal Arbee dan penerbit dan pencetak akhbar tersebut The News Straits Times Press (Malaysia) Berhad.

Di dalam artikel bertajuk 'Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk' akhbar tersebut antara lain telah memfitnah kononnya Mahfuz telah mencabar Datuk Shaziman Abu Bakar bertumbuk di luar Dewan Rakyat semasa perbahasan usul membantah tindakan ganas polis kepada peserta perhimpuna di Klang pada tahun 2000.

Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan berita tersebut adalah fitnah ke atas Mahfuz kerana menurut hakim laporan akhbar berkenaan bercanggah dengan laporan Hansard Parlimen yang menunjukkan bahawa cabaran bertumbuk sebenarnya datang dari Datuk Shaziman Abu Bakar dan bukannya Mahfuz.

Mahfuz sebelum ini telah memfailkan permohonan Notis Usul untuk membatalkan rayuan tersebut kerana terdapat kecacatan serius dalam proses rayuan tersebut yang menjejaskan keesahan rayuan tersebut.

Akibat dari tindakan Berita Harian menarik balik rayuannya, peguamcara Mahfuz juga menarik balik Notis Usul tersebut tanpa perintah terhadap kos.

Sebelum ini Mahfuz juga telah berjaya di dalam samannya ke atas Utusan Malaysia apabila mahkamah mengarahkan Utusan membayar gantirugi RM120,000-00 dan kos ke atas Mahfuz kerana memfitnah beliau kononnya ingin mengguling kerajaan dengan kekerasan.

Berita Harian diwakili oleh Tetuan Shearn Delamore & Co manakala Mahfuz pula diwakili Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

Harakah Daily

Tiada ulasan: