10 Februari 2012

Pemuda Pas demo protes kekejaman Syria

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Pemuda Pas akan mengadakan perhimpunan aman di pekarangan Kedutaan Syria, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat, petang ini bagi membantah pendekatan keras pimpinan Presiden Bashar al-Assad terhadap rakyat negaranya.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, sayap pemuda Pas itu tidak akan berdiam diri dengan menyaksikan ribuan umat Islam, yang tidak bersenjata, diseksa, dipenjara dan dibunuh.

"Dewan Pemuda PAS mengajak seluruh pemimpin dan ahli Umno serta NGO di bawahnya seperti Perkasa dan Pekida untuk turut serta bersama Pas serta NGO-NGO Islam yang lain dalam himpunan aman membantah kekejaman kerajaan Syria pimpinan Bashar, yang telah menyeksa dan membunuh ribuan rakyat mereka, hari ini di hadapan Kedutaan Syria," katanya lagi.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini, Riduan menambah, isu kezaliman tentera Syria ke atas rakyatnya sendiri merupakan isu sejagat dan wajib atas umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan bantahan.

"Malah, mendiamkan diri dengan menyaksikan ribuan umat Islam di sana diseksa, dipenjara dan dibunuh merupakan suatu dosa besar di sisi Islam," kata beliau lagi.

Tambah beliau, Dewan Pemuda Pas juga melihat kezaliman tentera kerajaan Basyar sudah sampai ke kemuncaknya.

Katanya, umat Islam tidak tertahan melihat ribuan umat Islam yang tidak bersenjata dibunuh dengan ditembak atau dibom sesuka hati.

"Dalam hal ini, pemimpin Umno yang memegang kuasa di negara ini tidak wajar hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa bantahan.

"Sekiranya benar pemimpin Umno memperjuangkan aqidah ummat, kezaliman Basyar tidak harus hanya dipandang sebelah mata atau ‘menutup mata’ dengan berpura-pura tidak mengetahui isu sebenar," katanya sambil menambah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razal harus bangkit bersuara di peringkat antarabangsa bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan.

"Perdana Menteri juga seharusnya berbincang dengan negara-negara (Pertubuhan Persidangan Islam) OIC agar melakukan tindakan tertentu demi menyelamatkan umat Islam di Syria daripada terus menjadi mangsa pembunuhan," katanya lagi.

Sinar Harian

Tiada ulasan: