10 Februari 2012

Kren tumbang: Kaji semula peraturan keselamatan

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PULAU PINANG, 10 Feb: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Malaysia supaya meneliti semula peraturan pemeriksaan di tapak pembinaan dan tempat kerja berikutan kemalangan kren tumbang baru-baru ini.

Tiada kematian atau kecederaan dalam kemalangan yang melibatkan kren di Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu.
Bagaimanapun, beberapa buah kereta remuk dan mereka yang berada di dalamnya bertempiaran lari apabila kren di atas bangunan 36 tingkat yang sedang di dalam pembinaan di Jalan Binjai tumbang.
Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) perlu menyiasat punca kemalangan yang melibatkan kren itu.

"Adakah ia disebabkan oleh kesilapan manusia, kelemahan dalam amalan pemeriksaan kren di tapak pembinaan atau kerosakan jentera?" soal Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris.

Sehubungan dengan kemalangan itu, katanya, adalah wajar untuk mengkaji semula prosedur pemeriksaan semasa yang dijalankan oleh DOSH.

Bagi beliau, kemalangan berkaitan kren mungkin berulang jika jentera itu dikendalikan oleh pengendali kren bertauliah dan berdaftar yang diluluskan oleh DOSH, di samping pemeriksaan berkala yang dilakukan oleh pegawai DOSH.

Bagaimanapun bilangan kemalangan, kematian dan statistik kecederaan di masa lepas menunjukkan langkah yang lebih ketat perlu diambil.

Beliau mencadangkan agar pengendali kren mestilah terlatih, berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan langkah keselamatan yang ketat mestilah dipatuhi apabila mengendalikan kren.

Seorang yang berkelayakan perlu ditugaskan memeriksa kren dan alat-alat kawalan sebelum digunakan, tambahnya.

Selepas berlakunya beberapa kemalangan di tempat kerja pada masa lepas, CAP menggesa penyiasatan bebas dilakukan untuk menilai peranan dan fungsi DOSH di samping mengkaji semula Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSHA) bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan seluruh pekerja dan orang ramai.

Perkara ini masih belum dilakukan dengan mencukupi, dakwa SM Idris.

Memandangkan bilangan dan keadaan kemalangan di tempat kerja, kajian semula OSHA dan semua prosedur dan peraturan keselamatan mestilah dipercepatkan untuk melindungi keselamatan pekerja dan orang awam, katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: