10 Februari 2012

NGO anjur gerakan tutup aurat

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN: Sepuluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan kariah masjid di Pulau Pinang akan menganjurkan Gerakan Menutup Aurat Antarabangsa (GEMAR) bagi menggalakkan umat Islam menutup aurat serta menangani gejala maksiat yang kerap berlaku pada Hari Valentine.

Antara NGO dan kariah masjid yang mengambil bahagian ialah Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia, IKRAM Pulau Pinang, NISA' Pulau Pinang, Kelab Remaja Lestari, Ikatan Persaudaraan Muslimah Pulau Pinang (SALIMAH), Aktivis Pengupayaan Insan (API), Komuniti Suara Kehidupan dan Kariah Masjid At Taqwa Bertam.
Majlis pelancaran akan berlangsung di Masjid At Taqwa, Bertam dan akan dihadiri oleh barisan kepemimpinan NGO Islam yang bergerak aktif di sekitar wilayah utara tanah air.

Setiausaha Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia, Asti Toba, berkata GEMAR yang digerakkan pada 2009 bertujuan menyedarkan umat Islam mengenai keperluan menjaga aurat dan membantah sambutan Hari Valentine di kalangan golongan muda Islam.

Kira-kira 200 aktivis Islam akan turun ke Pantai Jerejak berdekatan Queensbay Mall, Bayan Baru dan Hentian Rehat Pantai Bersih di Bagan Ajam, Butterworth, esok dan Ahad ini, manakala kemuncak acaranya adalah pada Selasa ini.

“Antara acara yang dilangsungkan oleh aktivis Islam akan mengedarkan tudung percuma kepada masyarakat Islam dan mengedarkan risalah supaya menutup aurat," katanya di sini, semalam.

Asti berkata, GEMAR adalah platform terbaik untuk ahli NGO, pelajar universiti dan segelintir individu Melayu-Islam di negara ini yang prihatin dengan masalah gejala maksiat yang kerap dikaitkan dengan Hari Valentine.
Katanya, golongan itu akan menggunakan peluang untuk mendekati umat Islam sambil menyampaikan mesej dakwah kepada pengunjung kedua-dua tempat tumpuan muda mudi itu.

“Tinjauan kami mendapati Pantai Jerejak dan Hentian Rehat Pantai Bersih sering menjadi tumpuan umat Islam terutama remaja untuk menghabiskan waktu, dan pemandangan lelaki dan perempuan berdua-duaan adalah biasa di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, di KOTA BHARU, BERNAMA melaporkan kerajaan PAS Kelantan bercadang menggantikan Hari Valentine kepada sambutan Hari Suami Isteri sebagai acara tahunan.

Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata adalah lebih elok jika Hari Valentine, yang dipuja dan diilhamkan pengikut agama Kristian, diganti dengan sambutan Hari Suami Isteri untuk melahirkan keluarga bahagia mengikut acuan Islam.

“Untuk masa akan datang, kita bersetuju untuk menukar Hari Valentine kepada sambutan Hari Suami Isteri setiap tahun,” katanya selepas merasmikan Hari Suami Isteri dan Pelancaran Buku Panduan Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan di sini, semalam.

berita harian/-

Tiada ulasan: