10 Februari 2012

Thaipusam dicemari

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seramai 13 lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan dalam dua kejadian berasingan, masing-masing di tepi Jalan Utama dan tepi Jalan Kebun Bunga Selasa lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, kejadian pertama berlaku pada jam 5.25 petang di tepi Jalan Utama melibatkan 11 lelaki berumur antara 14 hingga 24 tahun.

Dalam kejadian itu, dua pelajar cedera di belakang badan, lengan kanan, belakang leher, bahu serta pipi kiri akibat diserang.

“Dua mangsa itu ditemui polis dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan yang agak serius namun setelah ditanya, mereka tidak tahu punca diserang serta kedua-duanya tidak mengenali suspek. Mereka juga mendakwa tidak pernah ada masalah dengan kesemua suspek.

“Siasatan awal mendapati, kecederaan pada kedua-dua mangsa adalah akibat diserang menggunakan pisau pemotong kertas. Polis menahan 11 lelaki disyaki terlibat dan merampas sebilah pisau, sebilah playar dan lima bilah pisau pemotong kertas,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, dalam kedua pula, kejadian berlaku di tepi Jalan Kebun Bunga pada kira-kira jam 6.40 petang hari sama melibatkan dua kumpulan lelaki bergaduh menggunakan senjata tajam dipercayai pisau.

“Susulan kejadian, polis menahan dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun. Daripada siasatan awal, kedua-duanya yang bekerja sebagai pemotong rumput dan mekanik tidak mempunyai rekod lampau.

“Polis turut merampas dua bilah pisau disorokkan di belakang kedua-dua suspek. Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat dendam. Kedua-dua tangkapan adalah dari kumpulan berlainan,” katanya.

Sementara itu, Ayub berkata, polis turut menahan seorang lelaki kerana membawa sebilah parang ketika sedang berkumpul dengan beberapa lelaki lain bagi menyambut perayaan Thaipusam.

“Lelaki yang berumur 20 tahun dan bekerja sebagai pembantu jualan itu ditahan pada jam 4.45 petang di hadapan astaka di Jalan Perak dekat sini. Siasatan awal mendapati dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: