10 Februari 2012

Terkejut kereta tiba-tiba terbakar

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT (U) – Bunyi pelik di bahagian hadapan rumah, mengejut seorang wanita apabila kereta yang di parkir di bahagian terbabit tiba-tiba terbakar, kelmarin.

Kejadian kebakaran kira-kira jam 12.15 malam di Taman Lintang Makmur, di sini, memusnahkan sebuah kereta jenis Toyota Corolla dan bahagian syiling garaj.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, mangsa berusia 37 tahun ketika itu berada di dalam rumah dan terdengar bunyi pelik di bahagian hada­pan rumahnya.

Menurutnya, sebaik sahaja menyedari mengenai kebakaran itu, mangsa tidak dapat berbuat apa-apa kerana api sudah marak.

“Sewaktu kejadian, suami mangsa tiada di rumah kerana keluar bekerja dan wanita itu tidak dapat berbuat apa-apa melainkan melihat sahaja kereta musnah di depan mata.

“Selain kereta, bahagian hadapan rumah mangsa turut disambar api tetapi sempat diselamatkan oleh pihak bomba daripada terus merebak,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Azman berkata, jiran-jiran di sebelah rumah juga tidak dapat membantu dan hanya berusaha menyimbah air bagi mengelak api merebak ke kawasan rumah mereka.

Katanya, punca kejadian masih belum diketahui dan pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kenderaan mangsa yang mengalami kemusnahan kira-kira 70 peratus dan anggaran kerugian mencecah ribuan ringgit termasuk kerosakan pada bahagian hadapan rumah.

“Punca sebenar kejadian masih disiasat dan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: