27 Mac 2012

Akibat curi barang majikan

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Seorang bekas pekerja restoran dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini semalam kerana mencuri barang kemas milik majikannya yang disimpan di dalam bilik solat restoran.

Tertuduh, Nasir Ibrahim, 18, dari Sempor­na, Sabah dijatuhi hukuman itu selepas dia membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.

Berdasarkan pertuduhan, Nasir didapati mencuri lapan utas rantai tangan emas, dua utas rantai leher emas, lima bentuk cincin emas, sebuah loket emas, seutas rantai kaki emas dan wang tunai berjumlah RM43,000 milik Zubidah Mohamed Alias, 39.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Restoran Asam Pedas Kampung, Plaza Mahkota pada 16 Mac 2012 antara jam 4 petang dan 5.15 petang.

Mengikut fakta kes, kehilangan barang berharga milik pemilik restoran disedari apabila adik kepada mangsa nampak tertuduh keluar dari bilik solat restoran itu dan terus melarikan diri.

Pemeriksaan di bilik solat mendapati barangan kemas yang diletakkan di bawah katil hilang sebelum bertindak membuat laporan polis.

Tertuduh yang menyembunyikan diri bagaimanapun berjaya dikesan, sebelum ditangkap pada 17 Mac lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: