27 Mac 2012

Krisis bahan api landa Gaza

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BANDAR GAZA - Stesen kuasa utama di Genting Gaza berhenti beroperasi, kelmarin selepas ia hanya mampu membekalkan kuasa sementara selama 48 jam kepada seluruh penduduk di kawasan itu.

Menteri Kesihatan, Baseem Naim berkata, pihak berkuasa menyatakan kekurangan bahan api di negara tersebut telah meletakkan banyak nyawa dalam bahaya.

“50 peratus daripada ambulans dan kenderaan di bandar ini terjejas akibat krisis bekalan kuasa dan bahan api ini. Ia sememangnya mengancam nyawa ribuan penduduk kerana peralatan di hospital juga tidak dapat berfungsi seperti biasa,” menurutnya.

Dalam satu kenyataan, Israel memaklumkan krisis itu sebenarnya melibatkan masalah dalaman Pihak Berkuasa Palestin dan mereka mendakwa kononnya negara tersebut tidak akan menghalang pemindahan bahan api ke Gaza.

Pada Jumaat lalu, sebanyak 450,000 liter bahan api telah dihantar ke Gaza untuk membolehkan loji kuasa di bandar tersebut berfungsi semula di bawah perjanjian antara Mesir dan Israel, namun ia hanya mampu bertahan selama dua hari.

Menurut perjanjian asal, Mesir akan menghantar 900,000 liter bahan api tetapi masih tidak jelas bila bakinya dapat dihantar ke Gaza.

Loji kuasa Gaza membekalkan elektrik kepada hampir satu pertiga penduduk di sekitar bandar tersebut tetapi masalah penjanaan kuasa sejak 10 Mac lalu telah menyebabkan penduduk terpaksa bergelap sehingga tempoh 18 jam pada setiap hari.

sinar hARIAN/-

Tiada ulasan: