27 Mac 2012

Reman polis wanita disambung

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Perintah reman seorang anggota polis wanita disambung tiga hari oleh Mahkamah Kota Bharu di sini, semalam bagi membantu siasatan kes tembak di hadapan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Pendaftar, Amni Mat Jahari mengeluarkan perintah reman itu terhadap suspek berusia 36 tahun itu bermula 26 Mac hingga 28 Mac ini.

Suspek pernah ditahan reman tiga hari sebelum ini selepas ditahan sejurus hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan reman berkenaan.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang peniaga pasar malam nyaris maut selepas terkena empat das tembakan yang dilepaskan oleh penunggang motosikal dan penumpang kereta di hadapan HUSM.

Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, Hasan Mat Ali berusia lingkungan 40an dikejarkan ke HUSM untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas terkena empat das tembakan di kaki kiri manakala adik perempuannya hanya cedera ringan.

Susulan kejadian itu, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Binjai dan berjaya menahan seorang suspek wanita yang juga seorang anggota polis yang ditahan kerja. Manakala dua lagi suspek lelaki berjaya meloloskan diri dengan kereta jenis Kenari merah. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: