27 Mac 2012

Lelaki bermasalah mental mengamuk cederakan saudara

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Tidak kenal saudara! Disebabkan masalah mental yang dialaminya sebelum ini, seorang penganggur tidak kenal saudara setelah bertindak agresif dengan cuba mencederakan kakak serta anak saudaranya sendiri.

Bukan itu sahaja, dia turut mengamuk dan merosakkan harta benda dalam rumah kakaknya itu di Kampung Kubang Ikan, Chendering, di sini, 19 Mac lalu.

Bagaimanapun, walau apa jua alasan, tertuduh, Zulkefli Salleh, 48, dari Kampung Kubang Ikan, Chendering tetap dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dakwaan dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan dan melakukan khianat terhadap keluarganya itu.

Zulkefli yang mengaku salah atas kedua-dua dakwaan terbabit kemudiannya diarahkan oleh Majistret Noradila Ab. Latif mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi, Johor selama sebulan.

Sebelum itu, tertuduh yang masih bujang itu mengaku salah dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Azli Abdul Ghani, 13, dan Noor Pisah Salleh, 56, di sebuah rumah di Kampung Kubang Ikan, Chendering pada 19 Mac lalu kira-kira jam 5.10 petang.

Dengan itu, tertuduh mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, dia turut mengaku salah pada tempat, hari dan masa yang sama telah melakukan khianat ke atas Mohamad Suraimi Abdul Ghani, 29, iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Noradila menetapkan 26 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, anak saudara tertuduh, Mohamad Suraimi telah membuat laporan di Balai Polis Chendering mengatakan tertuduh telah mengamuk dan merosakkan harta benda dalam rumah serta mencederakan adiknya, Mohamad Azli dan cuba mencederakan emaknya, Noor Pisah.

Susulan laporan itu, polis melakukan siasatan dan dapati tertuduh yang dikenali ‘Pok Keli’, kurang siuman telah membuat kacau serta mengamuk di dalam rumah dengan merosakkan harta benda menyebabkan tingkap rumah pecah.

Pada masa sama, tertuduh telah memukul anak saudaranya yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan semasa cuba melindungi emaknya daripada dicederakan tertuduh.

Laporan kesihatan lampau mendapati tertuduh mempunyai masalah mental seperti tutur kata yang bermasalah dan mengalami gangguan halusinasi suara serta tutur kata yang bercelaru.

Sinar Harian

Tiada ulasan: