27 Mac 2012

Kena kejar 15 kenderaan

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Dua anggota penguatkuasa Kastam Diraja Malaysia cedera ringan selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh oleh kenderaan lain dipercayai dipandu tonto sebelum berjaya menahan sebuah lori di Kilometer 24 Lebuhraya Pasir Gudang di sini.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Ramli Johari berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, kenderaan yang dinaiki penguatkuasa berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang akibat dirempuh.

“Ketika mengejar lori berkenaan, kenderaan dinaiki anggota kami diekori 15 kenderaan lain dinaiki tonto. Pemandu lori yang mengangkut sejumlah rokok putih dan keretek termasuk bir jenama Tiger serta Malaki bertindak melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, kesemua barang bukti berkenaan yang ditaksirkan bernilai RM223,528 membabitkan cukai bernilai RM1,910,251.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum maksimum 20 kali nilai atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Dalam tempoh seminggu lalu, pihak kami berjaya menggagalkan dua kes cubaan seludup rokok dan minuman keras bernilai RM372,586, membabitkan nilai cukai sebanyak RM1,808,171,” katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil intipan di laluan kenderaan dagangan import Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, Sabtu lalu, berjaya menahan sebuah Lockvan jenis Hino seterusnya menemui sejumlah rokok dan minuman keras bernilai RM55,786 dengan nilai cukai RM450,683.

“Pemandu van berkenaan, seorang lelaki berumur 54 tahun dibawa ke Unit Pemeriksaan Rapi untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Katanya, pada 22 Mac lalu, pihak kastam berjaya merampas 264 kotak rokok keretek jenama Djarum Black yang ditemui dalam sebuah lori Taman Universiti, Skudai di sini, kira-kira jam 11 malam.

Bagaimanapun pemandunya berjaya melarikan diri.

“Kesemua barangan rampasan itu ditaksirkan bernilai RM316,800 membabitkan cukai RM1,357,488. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

“Nilai jumlah keseluruhan barangan dirampas bagi kesemua tiga kes itu adalah RM596,114 dengan jumlah keseluruhan cukai sebanyak RM3,718,423,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: