27 Mac 2012

Bayi 3 bulan meninggal dalam jagaan pengasuh

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SETIA ALAM: Sepasang ibu bapa bingung apabila bayi lelaki mereka yang sihat, meninggal dunia secara tiba-tiba ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di sebuah TASKA di sini, minggu lalu.

Tai Loon Eng, 29, dan suaminya, Tan Khai Yin, 34, berkata mereka sepakat untuk menghantar bayi sulung 3 bulan itu ke TASKA berkenaan selepas diyakinkan oleh pemiliknya bahawa ia dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan, termasuk kamera litar tertutup (CCTV).
Loon Eng berkata, bayinya bernama Tan Yanxue dilahirkan secara normal dalam keadaan sihat pada 11 Disember tahun lalu sebelum dihantar ke TASKA itu sejak 20 Februari lalu.
“Sejak anak saya dihantar ke sana, saya dapati kesihatannya mula terganggu. Minggu pertama dia dihantar ke sana, dia mengalami demam panas dan jangkitan pada tekak, begitu juga dengan minggu kedua.

“Minggu lalu, saya dan suami membawanya ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan untuk suntikan vaksin. Waktu itu dia dalam keadaan sihat saja dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang mencurigakan,” katanya.

Beliau berkata, pada 22 Mac lalu beliau menerima panggilan telefon daripada pemilik TASKA itu pada jam 2.15 petang yang memintanya segera datang ke premis itu.

“Saya menghubungi jiran terdekat, M Shanty dan memintanya agar pergi ke TASKA itu dulu.
“Saya diberitahu Shanty bahawa anak saya berada di atas katil tetapi tidak bergerak. Dia juga kelihatan seperti mengalami masalah pernafasan kerana kulitnya sudah bertukar menjadi biru.

“Waktu saya sampai di TASKA itu, CCTV tidak dipasang seperti sepatutnya dan pemilik TASKA juga tiada di situ. Yang ada hanya dua pembantu warga India dan Kemboja yang berdiam diri apabila disoal mengenai anak saya,” katanya.

Loon Eng berkata, Hospital Tengku Ampuan Rahimah mengesahkan anaknya sudah meninggal dunia sebelum tiba di situ.

“Saya mengadakan sidang media ini bukan untuk mengaibkan pemilik TASKA atau memberi sebarang masalah kepada beliau, tetapi cuma mahu meminta kerjasama kerajaan khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan perkara ini tidak berulang.

berita harian/-

Tiada ulasan: