27 Mac 2012

'Kita dah lakukan terbaik, terserah rakyat dan tuhan'

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Mac: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) berkata, terpulang kepada kebijaksanaan rakyat untuk memilih siapa yang dirasakan layak menerajui kerajaan negeri itu selepas PRU-13 nanti.

Menurutnya, apa yang penting kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu telah berusaha melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat Pulau Pinang dan mereka boleh menilainya.

"Saya rasa terpulang kepada rakyat, kita akan bersiap sedia tapi akhirnya rakyat dan tuhan yang menentukan segala-galanya," katanya ketika ditanya Harakahdaily peluang Pakatan Rakyat negeri itu pada PRU-13 nanti.

Setiausaha Agung DAP itu juga memberitahu, sejak empat tahun memerintah Pulau Pinang, Pakatan Rakyat telah berjaya meningkatkan ekonomi penduduk, malah sebahagian hasil ekonomi negeri dapat dinikmati rakyat.

Sehingga kini katanya lebih RM70 juta bantuan dalam bentuk kewangan diberikan secara terus kepada rakyat.

Bantuan itu termasuk RM100 setahun kepada warga emas melalui program penghargaan warga emas, RM200 kepada anak baru lahir melalui program Anak Emas, RM1,000 kepada anak negeri yang memasuki IPTA, dan RM100 setiap tahun untuk pelajar sekolah melalui program Pelajar Emas.

Selain itu katanya, lebih RM500 juta pula digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya penambahbaikan infrastruktur di negeri itu.

Paling berjaya katanya, Pakatan Rakyat negeri itu telah berjaya membasmi miskin tegar dalam masa setahun dan memberi bantuan tambahan wang kepada setiap keluarga bagi mencapai jumlah pendapatan RM600 sebulan.

"Inilah perubahan besar yang kita bawa. Berbanding BN dahulu yang bersifat kroni, kepada kita yang berjiwa rakyat.

"Kita akan hadapi PRU 13 ini dengan sabar dengan harapan rakyat boleh yakin dengan usaha ikhlas kita untuk mewujudkan kerajaan yang bersih dan berjiwa rakyat," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: