27 Mac 2012

Tiga kes denggi dikesan di Gombak Setia

4 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GOMBAK SETIA - Tiga kes demam denggi membabitkan satu keluarga di Jalan Madrasah 3, di sini dikesan berlaku dalam kawasan Gombak Setia, minggu lalu.

Ketua Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gombak Setia, Bahtiar Ahmad berkata, dalam kes pertama dilaporkan di kawasan itu, seorang kanak-kanak dan dua dewasa dijangkiti demam denggi.

Keadaan itu menurutnya, menimbulkan kebimbangan penduduk apatah lagi ia dianggap kes terbesar berlaku di Gombak Setia.

“Sekiranya Pejabat Kesihatan mengatakan satu kes pun sudah bahaya, tiga kes yang berlaku dalam kawasan ini benar-benar membimbangkan.

“Harap kes ini dijadikan iktibar kepada penduduk supaya sentiasa menitikberatkan soal kebersihan terutama di tempat kediaman masing-masing,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong bersama penduduk, di sini.

Bahtiar berkata, bimbang dengan tercetusnya kes denggi di kawasan itu, KRT Gombak Setia mengambil inisiatif awal mengadakan gotong-royong.

“Harap aktiviti seperti ini menjadi langkah awal setiap keluarga membanteras wabak ini daripada terus menular,” katanya.

Program dengan kerjasama jawatankuasa Surau Al-Hilaliah, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta beberapa agensi kerajaan lain itu bertujuan membanteras wabak denggi seperti di kawasan longkang tersumbat dan lokasi berisiko air bertakung.

Sinar Harian

Tiada ulasan: