08 Mac 2012

MB : Noh Omar Menteri Kanggaru

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Timbalan Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar disifatkan sebagai “Menteri Kanggaru” kerana enggan hadir dalam sesi Selcat baru baru ini walaupun beliau dengan yakin, pernah mendakwa mempunyai bukti penyelewengan Kerajaan Selangor.

Dalam menyelar sikap Noh, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim melahirkan rasa kecewa terhadap Noh, yang sebelum ini lantang mendakwa yang dia mempunyai fakta penyelewengan Kerajaan Selangor.

“Dia kata mahu selesaikan masalah dan mempunyai fakta, jika menyimpan fakta keluarkan saja fakta itu, kenapa susah-susah hendak jadi kanggaru.

“Dia Menteri Pertanian bukan Menteri Pertanian di Australia yang perlu tahu tentang kanggaru,” katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco.

Noh tidak hadir pada mana-mana sesi pendengaran awam SELCAT atau Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan yang berlangsung pada 5 ke 7 Mac.

Peranan sesi pendengaran awam tersebut adalah untuk mengenalpasti kelemahan dalam pengurusan Kerajaan Selangor di samping memperbaiki unsur-unsur yang boleh menyebabkan ketirisan dan salah urus tadbir.

Noh pernah mendakwa ada banyak unsur penyelewengan dalam pentadbiran syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) Selangor seperti Yayasan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di bawah pemerintahan Pakatan.

Beliau juga telah dicabar oleh Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Khim dan setiausaha politik Menteri Besar Faekah Hussin supaya datang ke sesi Selcat dan kemukan bukti.

Abdul Khalid pada hari ini sekali lagi mengulang pendirian Pakatan Selangor bahawa Selcat merupakan wadah yang terbaik untuk mengemukan bukti tentang penyelewengan dan salah tadbir.

“Kalau dia ada fakta tentang isu haram, jenayah atau sebagainya, keluarkan saja. Dia sebagai mempunyai tugas, bukan sahaja sebagai ahli DUN atau ahli Parlimen tetapi juga sebagai rakyat tempatan.

“Dia kata mahu selesaikan masalah dan menyimpan fakta, tetapi tidak hadir. Jika dia tak reti pasal tugas dia bermakna dia gagal dan saya berasa kasihan kepada rakyat Selangor kerana mempunyai menteri sepertinya.”

selangorku/-

Tiada ulasan: