08 Mac 2012

Pemandu degil dikompaun

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEGAMAT - Lebih 115 kompaun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Majlis Daerah Segamat sepanjang sehari pemeriksaan dilakukan di sekitar bandar Segamat.

Yang Dipertuanya, Ismail Abu berkata, pihaknya melakukan sentiasa pemeriksaan secara berkala yang lebih tertumpu di bahagian bandar.

Antara kesalahan dilakukan adalah seperti tidak mempamerkan kupon meletak kenderaan; meletakkan kenderaan di kawasan larangan; mengganggu lalu lintas; meletakkan kenderaan di lorong belakang dan sebagainya.

“Kebanyakan kesalahan dilakukan adalah kesalahan berulang yang sering dipantau oleh pihak MDS. Namun ianya masih berlaku walaupun kita mengeluarkan kompaun atas kesalahan berkenaan.

“Pengusaha premis perniagaan seperti aksesori kereta, kedai tayar dan membaik pulih kenderaan perlu peka terhadap penggunaan kotak meletak kenderaan di bahagian hadapan premis mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, masih ramai pengusaha perniagaan gagal memohon permit untuk dirizabkan kepada pelanggan walaupun bayaran yang dikenakan MDS hanya RM100 untuk sebulan bagi satu petak kenderaan.

“Pihak kita akan melakukan operasi seperti ini secara berterusan dan mengikut aduan yang diterima. Ini kerana masih banyak pemandu meletakkan kenderaan mereka secara yang mengganggu lalu lintas.

“Pada masa sama juga, kita mengharapkan masyarakat akan lebih berdisiplin dan mengikut mengikut petak yang disediakan sebagai alternatif mengelakkan kesesakan di laluan utama bandar,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: