08 Mac 2012

The Settlers intai import baru

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

FELDA United FC tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak dua pemain import barunya, Makadji Boukar (Cameroon) dan Pape Cire Dia (Senegal) berikutan aksi hambar dalam lima perlawanan lalu termasuk ketika tewas 1-3, kepada Lions XII kelmarin.

Tidak berpuas hati dengan sumbangan kedua awang import tersebut, jurulatih, E Elavarasan kini sedang berkira-kira untuk mendapatkan pemain import baru menjelang tarikh pendaftaran pemain import dibuka semula 2 April nanti.

“Kita sudah bagi banyak peluang, namun aksi mereka terbukti mengecewakan pihak pengurusan. Bagi saya kelibat pemain tempatan mampu beraksi lebih baik.

“Calon untuk menggantikan tempat mereka sudah ada dan dijadualkan tiba minggu depan. Namun buat masa sekarang saya tidak mahu mendedahkan pemain tersebut berasal dari negara mana,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Boukar, 28, bermain di posisi bek kanan sebelum ini pernah beraksi dengan kelab Vasas SC di Hungary dan merupakan pemain kebangsaan Cameroon, manakala penyerang, Cire Dia, 31, merupakan pemain kelab ASC Diaraf negara kelahirannya.

Dalam perkembangan lain, Elavarasan turut mengulas mengenai ‘sindrom kad merah’ yang melanda pasukannya sejak sembilan perlawanan Liga Super musim ini dengan menganggap ianya sebagai lumrah arena bola sepak.

Tidak mahu bertindak terburu-buru menjatuhkan hukuman, pengendali The Settlers itu sebaliknya lebih bersikap positif dengan meletakkan kepercayaan kepada anak buahnya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: