08 Mac 2012

Pusat judi veteran diserbu

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PUCHONG - Memberi helah menghidap sakit jantung sambil mengurut-urut dadanya gagal melepaskan seorang warga emas yang leka bermain judi mahjung daripada dicekup pihak berkuasa di sebuah kedai kopi di Taman Perindustrian Puchong, di sini, petang semalam.

Dalam serbuan itu, warga emas berusia 73 tahun berkenaan antara lapan pemain berusia 40 hingga 70-an yang ditahan dalam Ops Dadu diketuai Ketua Polis Balai Puchong, Inspektor Hailmi Zil Azam Nordin bersama 10 anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ).

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, bertindak atas maklumat awam, kedai kopi yang terletak di kawasan industri terbabit diserbu kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, ketika diserbu terdapat beberapa pelanggan leka bermain judi mahjung yang kebanyakannya sudah lewat usia.

“Kita menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa kegiatan judi dijalankan secara terbuka di kedai makanan itu.

“Majikan dan masyarakat berhampiran mendakwa pekerja dan saudara mereka sering ‘pokai’ akibat ketagih bermain judi di tempat itu,” katanya pemilik turut menyediakan satu mesin slot kuda untuk kaki judi yang berkunjung.

Beliau berkata, ada juga majikan yang membuat aduan, premis makanan berkenaan menjadi port ponteng kerja bagi pekerja-pekerja mereka.

“Kita ambil serius aduan orang ramai kerana ia membabitkan gejala sosial yang boleh merosakkan masyarakat. Penjaga premis berusia 49 tahun ditahan dan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pemain pula dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan. Tiga meja bermain mahjung, kerusi, alatan bermain permainan itu dan wang sebanyak RM490 dipercayai digunakan untuk perjudian dirampas untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi turut disertai anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Sinar Harian

Tiada ulasan: