08 Mac 2012

Batal SBPA: Akhirnya perjuangan rakyat berjaya

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membatalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) adalah suatu kejayaan rakyat khususnya kakitangan awam dalam memperjuangkan hak mereka.

“Dalam isu ini, Datuk Seri Najib akhirnya terpaksa mengalah kepada tekanan rakyat yang tidak berpuashati kerana tidak meletakkan kepentingan rakyat bawahan dalam perkara yang membabitkan mereka,” Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, ia membuktikan bahawa SBPA hanya menguntungkan segelintir golongan tinggi penjawat awam dengan mengenepikan hak penjawat awam bawahan sehingga menimbulkan kemarahan ramai.

Beliau berkata, DPPM melihat mungkin juga pembatalan SBPA adalah tanda terdesaknya Perdana Menteri dalam meraih simpati rakyat menjelang Pilihan raya Umum ke-13.

“Dalam keadaan begini, beliau terpaksa mendengar rungutan banyak pihak dan akur dengan kehendak mereka,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, ujarnya DPPM mengingatkan, belum tentu SBPA tidak akan dilaksana jika BN mendapat mandat lagi selepas PRU13 nanti.

Katanya, pembatalan SBPA menjadi suatu pengajaran kepada Perdana Menteri dan kerajaan supaya setiap dasar yang melibatkan golongan bawahan, ianya perlu dibincangkan dahulu kepada mereka.

Tambahnya, Najib perlu ingat, kakitangan awam adalah golongan yang bekerja membanting tulang membangunkan negara selama ini, tanpa mereka tidak mungkin negara ini setanding dengan negara-negara yang lain.

“Justeru, wajarlah pandangan penjawat awam ini diambil kira dan diberi perhatian supaya sumbangan mereka benar-benar dihargai,” ujarnya lagi.

Najib tertekan Buku Jingga

Sementara itu, pembatalan SBPA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan BN tertekan dengan tawaran Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah al-Jundi, mendakwa 10 janji jingga, yang terkandung dalam Program 100 Hari Pakatan Rakyat, antaranya mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam berjaya memberi tekanan kepada Najib.

Tawaran jingga itu meletakkan pengiktirafan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru.

"Inilah bahayanya kerajaan yang ketandusan idea ketika ingin melaksanakan dasar-dasar tertentu dalam keadaan terdesak kerana cuba menyaingi Pakatan Rakyat. Hasilnya, pentadbiran awam kucar-kacir disebabkan politik desperado Najib," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah Athirah, keadaan itu juga menunjukkan pihak kerajaan tidak faham dalam menguruskan skim gaji penjawat awam.

Ekoran itu, Athirah berkata rakyat perlu sedar bahawa peranan Pakatan Rakyat begitu penting dalam usaha mengimbangi keperluan rakyat.

harakahdaily/-

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Flip-flop. Ini lah hasil kerja yang tidak menggunakan otak. Kerja nak senang dan tidak mementingkan orang-orang bawahan. Satu lagi Penindasan JPA.

Tanpa Nama berkata...

nak tnya satu soalan la...nape rm500 utk guru sahaja....pensyarh yg duk ngajar kat politeknik nie cmne...kerja pg smpai petng, gaji lebih kurg guru je yg keja sapa tngh hr (smpai ptg pun bukan selalu).....adakah golongan guru nie ramai, jd masing2 fokus pada guru???

Tanpa Nama berkata...

Najib kena terlalu sedar sekarang bahawasanya tindakan beliau membatalkan SBPA hanya akan mendedahkan lagi kelemahan dan kepincangan pentadbiran kewangan kerajaan..satu keputusan yang saya rasakan sudah terlambat dan besar kemungkinan menyumbang kepada kejatuhan dan kehancuran kerajaan BN pada PRU-13..nasi sudah menjadi bubur..

Tanpa Nama berkata...

Sebenarnya dari awal lagi latihan ini tidak betul. Dulu mengikut amalan kerajaan, kalau skim gaji baru nak dikaji maka ditubuhkan suatu suruhanjaya bebeas. Kita ada Suruhanjaya Suffian, Suruhanjaya Haron Hashim dan lain. Ini tak ada suruhanjaya. Pegawai Tinggi Kerajaan buat keputusan sendiri-sendiri naikkan gaji mereka melambung tinggi. Apa Najib buat waktu itu? Setuju saja. Tak fahamkah dia amalan kerajaan yang lazim. Kemudian apabila dibantah Kesatuan Sekerja, maka PM putuskan batall SBPA dan kembali kpd Skim lama dan buat kompromi. Mana pergi penasihat beliau sehingga sering sangat flip-flop.