08 Mac 2012

Penjawat awam rendah perlu gaji 'sara hidup'

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang adil dan saksama dengan mengutamakan golongan peringkat bawahan dahulu sebelum peringkat atasan.

Justeru, kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah haruslah membolehkan mereka menerima gaji ‘sara hidup’ (living wage), dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012.

Demikian antara cadangan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar (gambar) agar Kerajaan Persekutuan bersikap lebih adil berhubung kenaikan gaji penjawat awam.

Menurutnya, memandangkan keadaan ekonomi negara terkini, PKR sedar bahawa jumlah dana yang diperuntukkan untuk kenaikan gaji bagi penjawat awam menerusi skim SBPA mungkin dikekalkan pada tahap sedia ada.

Oleh itu, ujarnya PKR menggesa pihak Kerajaan Persekutuan untuk bersikap adil dan saksama dan memberi tumpuan utama kenaikan gaji kepada golongan penjawat awam yang paling rendah terlebih dahulu, iaitu di antara gred 1 hingga 54, demi merapatkan jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi yang pada waktu ini dianggarkan pada 19.5 kali.

Selain gaji ‘sara hidup’, beliau mencadangkan sekiranya prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti tidak dibuat, maka Cuepacs seharusnya menolak SBPA dan menuntut SSM lama dikekalkan tetapi dengan kenaikan atau apa yang sepatutnya dipanggil penyelarasan gaji minima perkhidmatan awam dilaksanakan segera.

“SBPA baru yang mesti dirangkakan secara lebih komprehensif termasuk perancangan peningkatan produktiviti yang melibatkan perbincangan dengan semua pihak secara terbuka dan bukan secara tertutup dan kemudian diumum secara serang hendap seperti sebelumnya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dalam satu kenyataan.

SBPA juga, ujarnya mesti dirangka dengan mengambil kira beberapa prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah wang rakyat dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta pemberian saguhati di atas laporan salah laku kewangan didalam kerajaan.

“Akhir sekali, PKR meletakkan keyakinan bertunjangkan perkhidmatan awam sebagai penggerak pembangunan negara yang terutama,” katanya lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: